Samy Vellu turut menyanyi untuk tarik pengundi di Machap
Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu menyanyikan dua lagi Tamil, walaupun tidak keseluruhannya, dalam kempen pilihanraya kecil Machap di Bukit Nangka di Alor Gajah malam tadi.
Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu menyanyikan dua lagi Tamil, walaupun tidak keseluruhannya, dalam kempen pilihanraya kecil Machap di Bukit Nangka di Alor Gajah malam tadi.
Beliau menyanyi di hadapan kira-kira 200 pengundi India yang kebanyakannya surirumah dan mereka yang bergelar nenek.
Menurut Bernama, menyedari cara lama untuk menarik perhatian mereka tidak akan membuahkan hasil, Samy Vellu menyanyi dengan caranya sendiri bagi mengambil hati dan minda pengundi dengan mengetengahkan cerita-cerita kejayaan Barisan Nasional (BN) menerusi lagu itu.
Selepas itu, Samy Vellu dengan cara biasanya terus bercakap dengan serius, meminta pengundi India yang berjumlah 1,403 orang supaya mengundi calon BN, Lai Meng Chong.
Sebelum ini, Lai, 56, dan pencabarnya Liou Chen Kuang, 33, dari DAP memulakan kempen pilihanraya mereka minggu lalu dengan menyanyikan lagu parti dan lagu tema mereka dalam dialek masing-masing.
'Kaum India dapat faedah'
Kerusi Dewan Undangan Negeri Machap kosong berikutan kematian penyandang Datuk Wira Poh Ah Tiam pada 15 Mac.
Samy Vellu berkata, parti pembangkang tidak dapat memberikan apa-apa berbanding BN yang telah membuktikan kemampuannya dengan meningkatkan taraf hidup rakyat Malaysia.
"Orang India juga mendapat banyak faedah daripada polisi dan program BN," katanya.
Menunjukkan kepada sepanduk BN yang digantungkan di dinding, beliau meminta para pengundi memberikan undi mereka kepada simbol dacing yang mewakili BN.
Seorang wanita warga emas kemudian berdiri dan memberitahu Presiden MIC itu bahawa dia telah mengundi BN sejak berusia 21 tahun dan dibalas Samy Vellu: " Saya tahu daripada senyuman menarik anda".

