Bekas ahli parlimen Klang Charles Santiago menggesa kerajaan mengambil langkah segera berhubung bencana banjir.

Dalam satu kenyataan hari ini, Charles berkata langkah membina tebatan banjir perlu disegerakan bagi mengurangkan beban rakyat, dan menggesa agar kerajaan melaksanakan skim insurans banjir.

“Tiada masa untuk menunggu lagi. Kematian tragis meragut empat nyawa, tiga di Johor dan satu di Pahang, menyerlahkan keseriusan keadaan berikutan banjir baru-baru ini.

“Walaupun ancaman perubahan iklim kelihatan besar, tumpuan segera mesti diberikan kepada menangani kesan banjir ini dan menyediakan bantuan kepada mereka yang terjejas secara mampan.

"Kerajaan mesti segera meletakkan langkah-langkah untuk melindungi komuniti yang terdedah kesannya yang memusnahkan," kata Charles (gambar bawah).

Pagi ini, Bernama melaporkan jumlah mangsa banjir yang dipindahkan di enam negeri terus meningkat dengan 40,922 mangsa ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) dan Selangor menjadi negeri terbaru yang terjejas.

Charles berkata, banjir memberi kesan kepada golongan B40 dan M40 yang boleh menyebabkan mereka jatuh miskin.

“Oleh itu, Malaysia mesti melaksanakan skim insurans banjir nasional untuk berfungsi sebagai jaringan keselamatan sosial untuk golongan yang rentan.

“Skim ini perlu disediakan di semua negeri dengan kadar subsidi untuk isi rumah B40.

"Sebagai contoh, Skim Semula Banjir UK ialah inisiatif bersama oleh kerajaan dan industri insurans, direka untuk menjadikan perlindungan banjir lebih tersedia, berpatutan dan mudah diakses. Dan ia bertanggungjawab kepada Parlimen," katanya.

Charles pernah menjadi ahli Parlimen Klang dari 2008 hingga 2022 kini merupakan pengarah Monitoring Globalisation, sebuah NGO yang membangkitkan isu pengurusan air, perubahan iklim, hak asasi manusia dan demokrasi, buruh dan keselamatan manusia.

Dia turut memberikan contoh negara seperti Jepun, Turki dan Switzerland yang menyediakan skim insurans swasta manakala AS dan Korea Selatan menawarkan skim insurans awam.

“Jiran Asean kita seperti Filipina dan Thailand telah mengikut langkah yang sama dalam menawarkan skim insurans banjir awam di mana premium adalah berkadar dengan risiko banjir di kawasan tertentu. Skim seperti ini meningkatkan kemampuan dan kebolehcapaian kepada populasi yang lebih luas.

"Kematian dan kemusnahan yang disebabkan oleh banjir ini menjadi amaran bahawa lebih banyak kerja mesti dilakukan untuk mengurangkan kesan perubahan iklim" kata Charles.