Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan kadar dividen 5.35 peratus untuk simpanan konvensional bagi 2022 dengan jumlah pembayaran sebanyak RM45.44 bilion.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP Amir Hamzah Azizan turut mengumumkan dividen 4.75 peratus untuk simpanan syariah dengan jumlah pembayaran sebanyak RM5.70 bilion.

Langkah itu menjadikan jumlah pembayaran keseluruhan dibuat KWSP untuk 2022 ialah sebanyak RM51.14 bilion.

Amir Hamzah berkata pulangan yang kompetitif itu sebahagian besarnya dipacu oleh strategi KWSP yang menekankan kemampanan jangka panjang pelaburan dan pulangan, selaras dengan alokasi aset strategik KWSP.

“Portfolio KWSP yang pelbagai dan kecairan yang sihat membantu mengurangkan risiko dan membolehkannya mengekalkan aset pelaburan melebihi RM1 trilion dan mengisytiharkan kadar dividen yang baik untuk 2022.

“Pembayaran sebanyak RM51.14 bilion ini akan memanfaatkan lebih daripada 15 juta ahli KWSP, termasuk dari sektor tidak formal yang berdaftar dengan i-Saraan, iaitu sebuah program caruman sukarela berasaskan insentif," katanya dalam taklimat media mengenai prestasi kewangan KWSP pada 2022 di Shah Alam hari ini.

Amir Hamzah berkata dia percaya dividen itu serta pengukuhan prestasi KWSP yang berterusan akan memberi manfaat kepada simpanan persaraan ahli, terutamanya apabila dilihat dari aspek jangka panjang.

“Walaupun dalam keadaan ekonomi yang mencabar, kami akan terus mengutamakan kejayaan jangka panjang portfolio pelaburan kami dan membina semula simpanan persaraan ahli,” katanya.

Setakat 31 Dis 2022, katanya, KWSP merekodkan jumlah pendapatan pelaburan kasar lebih rendah iaitu sebanyak RM55.33 bilion berbanding RM68.89 bilion pada 2021.

Katanya ia didorong oleh ketidaktentuan pasaran dan penilaian pasaran ekuiti serta pendapatan tetap yang lebih lembab.

Menurutnya tahun kewangan 2022 menyaksikan pertumbuhan global yang lebih perlahan dan kenaikan kadar inflasi tinggi, ditambah dengan pengetatan dasar monetari oleh bank pusat utama untuk mengekang tekanan inflasi.

“Pasaran pendapatan tetap juga gagal mencatatkan prestasi yang baik apabila indeks bon merekodkan pulangan negatif untuk tahun yang sama, sebahagian besarnya disebabkan oleh hasil bon yang tinggi berikutan kenaikan kadar faedah Rizab Persekutuan AS yang berterusan.

“Ketidakstabilan geopolitik juga merupakan faktor utama mempengaruhi pergerakan pasaran, dengan pencerobohan Rusia ke atas Ukraine yang telah melonjakkan harga komoditi, ditambah pula dengan pergolakan antara AS dan China,” katanya.


BACA LANJUT: Cukupkah Simpanan Hari Tua Nanti?


Pada 2022, tambah Amir Hamzah, kelas aset ekuiti menyumbang RM30.54 bilion atau 55 peratus daripada jumlah pendapatan kasar KWSP, lebih rendah berbanding RM41.06 bilion yang dicatatkan pada 2021.

Ekuiti tersenarai asing, yang mencatatkan pulangan pelaburan (ROI) sebanyak 9.27 peratus, terus menjadi pemacu pulangan untuk kelas aset berkenaan.

“Portfolio ekuiti persendirian juga menunjukkan prestasi kukuh, mencatatkan ROI sebanyak 13.65 peratus.

“Portfolio ini merekodkan pendapatan pelaburan kasar yang lebih rendah berbanding 2021, sebahagian besarnya disebabkan oleh penilaian aset pendasar yang lebih rendah, selain daripada pengagihan lebih rendah yang diterima untuk 2022," katanya.

Amir Hamzah menambah bagi memastikan kesihatan portfolio jangka panjang, KWSP mengambil langkah berhemat dengan menurunkan RM3.43 bilion daripada nilai portfolio ekuiti tersenarai pada 2022, lebih tinggi daripada RM1.15 bilion yang dicatatkan pada 2021, sejajar dengan turun naik pasaran ekuiti.

Sebanyak 74 peratus daripada jumlah itu adalah daripada kaunter patuh syariah yang mencatatkan prestasi rendah, seterusnya memberi kesan kepada prestasi simpanan syariah KWSP bagi tahun berkenaan.

- Bernama