Seramai 19 lelaki termasuk warga emas yang disyaki melakukan aktiviti judi sabung ayam ditahan dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Pauh, Badang, Kota Bharu, semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata serbuan jam 8.30 malam itu membawa kepada penahanan suspek berusia antara 20-an hingga pertengahan 60-an.

Menurutnya serbuan itu hasil pemantauan pihak polis berkait aktiviti terbabit.

"Hasil pemeriksaan, polis menahan 19 lelaki disyaki terbabit dalam aktiviti judi sabung ayam. Kita turut menemui wang tunai RM2,522, lapan ekor ayam dan enam sangkar ayam yang kemudian dirampas.

"Ujian saringan air kencing ke atas kesemua tangkapan adalah negatif dadah," katanya dalam kenyataan media,hari ini.

Tambah Mohd Rosdi, kesemua suspek direman selama empat hari bermula hari ini sehingga 7 Mac bagi siasatan lanjut.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 7 (2) Akta Akta Rumah Judi Terbuka 1953.