Guan Eng: DEB akan diganti dengan Agenda Nasional
Dasar Ekonomi Baru (DEB) akan digantikan dengan Agenda Nasional yang memberi pembangunan secara menyeluruh dan adil kepada semua kaum di negara ini jika pembangkang menang dalam pilihanraya umum kelak.
Dasar Ekonomi Baru (DEB) akan digantikan dengan Agenda Nasional yang memberi pembangunan secara menyeluruh dan adil kepada semua kaum di negara ini jika pembangkang menang dalam pilihanraya umum kelak.
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mendakwa, DEB yang
diperkenalkan hampir empat dekad lalu hanya memberi faedah kepada kroni pemimpin
Barisan Nasional (BN).
DEB diperkenalkan pada 1971 oleh bekas Perdana Menteri Tun Abdul Razak Hussein bagi menyusun semula masyarakat, terutama orang Melayu selepas tragedi 13 Mei 1969.
"Ini bermakna DEB tidak boleh dipakai lagi kerana DEB untuk anak pemimpin BN dan kroni mereka sahaja," katanya dalam ceramah membantu DAP, Liou Chen Kuang di Felda Hutan Percha malam tadi.
Dalam pilihanraya kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap itu, Liou berdepan dengan calon BN, Lai Meng Chong Khamis ini.
Pilihanraya Machap diadakan berikutan kematian wakil rakyatnya, Datuk Wira Poh Ah Tiam pada 15 Mac lalu.
Tiga cadangan
Lim berkata, Agenda Nasional itu merupakan satu daripada tiga cadangan yang akan dilaksanakan jika pembangkang memerintah Malaysia dalam pilihanraya umum akan datang.
Dua lagi cadangan ialah memperkenalkan dasar pendidikan yang adil untuk semua kaum termasuk menghapuskan penggunaan bahasa Inggeris dalam subjek Sains dan Matematik di sekolah rendah.
Sebaliknya, kata Lim, pengajaran dan pembelajaran kedua-dua subjek tersebut akan dibuat menggunakan bahasa ibunda masing-masing.
"Kita mendapati pembelajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris memberi kesukaran kepada murid Melayu, terutama di kawasan luar bandar.
"Walaupun pelbagai pihak meminta supaya subjek tersebut diajar dalam bahasa ibunda, Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein dan angota kabinet lain tidak mempedulikannya," katanya.
Cadangan ketiga, kata Lim ialah kekayaan negara akan diagihkan dalam bentuk wang tunai kepada rakyat miskin di seluruh negara.
Agih wang Petronas
Beliau berkata, sebagai contoh kekayaan Petronas diagihkan sebanyak RM2,000 kepada setiap rakyat setahun supaya mereka turut mendapat faedah daripada hasil sumber minyak negara.
Sementara itu, dalam ceramah sama, Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mustaffa Kamil Ayub berkata, pengundi Melayu perlu mengundi Liou Khamis ini.
"Walaupun mereka orang DAP, pemimpin parti itu seperti Lim pernah membela orang Melayu sehingga mereka dipenjarakan," katanya.
Mustaffa juga mendakwa, BN menjadi penjajah baru dengan mengaut keuntungan untuk kroni mereka.
Selain Lim dan Mustaffa, pemimpin pembangkang lain yang turut menyampaikan ceramah ialah Pemangku Angkatan Muda PKR, Shamsul Iskandar Md Akin dan Ketua Penerangan PKR, Tian Chua.

