Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
P Pinang lulus usul isytihar 4 kerusi DUN kosong
Diterbitkan:  Mar 6, 2023 2:02 PM
Dikemaskini: 8:41 AM

Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang telah meluluskan usul untuk mengisytiharkan empat kerusi yang disandang Perikatan Nasional (PN) dikosongkan.

Empat kerusi itu ialah Seberang Jaya (Afif Bahardin), Sungai Acheh (Zulkifli Ibrahim), Bertam (Khaliq Mehtab Mohd Ishaq) dan Teluk Bahang (Zolkifly Md Lazim).

Keempat-empat mereka bertanding di bawah Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya umum (PRU) 2018.

Dua daripada mereka, Afif dan Zulkifli, daripada PKR tetapi kemudiannya menyertai Bersatu. Khaliq dan Zolkifly adalah dari Bersatu, tetapi parti itu telah keluar daripada PH pada 2020.

Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow sebelum ini berkata usul itu dibentangkan berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan bahawa Perkara 14A dalam perlembagaan Pulau Pinang yang melarang lompat parti yang diluluskan pada 2012 adalah sah dan konsisten dengan Perlembagaan Persekutuan.

Usul itu yang dibentangkan oleh Adun Pinang Tunggal Ahmad Zakiyuddin Abd Rahman (PKR) diluluskan dengan undi suara majoriti wakil rakyat di dewan negeri.

Menurut Malay Mail, keempat-empat wakil rakyat berkenaan mengemas beg mereka dan keluar dari dewan tanpa kekecohan, selepas usul mengosongkan kerusi mereka diumumkan oleh Speaker Law Choo Kiang.

Awal hari ini, Ketua Penerangan Bersatu Senator Razali Idris berkata usul supaya empat wakil rakyat PN mengosongkan kerusi mereka tidak sepatutnya dikenakan kepada Adun Bersatu kerana mereka tidak melompat parti.

Menurut Razali, wakil rakyat itu dipilih pada pilihan raya umum 2018 sebagai sebahagian daripada Bersatu dan kekal dalam parti itu sehingga kini.

Lihat Komen
ADS