Seorang wanita dikhuatiri hanyut dibawa arus deras selepas kereta Perodua Myvi yang dipandunya dipercayai terbabas ke tebing jalan yang dinaiki banjir di Jalan Nitar Utama, di Mersing, pagi tadi.

Komander Operasi Penolong Penguasa Bomba Abdul Muiz Mukhtar berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu 6.49 pagi tadi dan kereta itu dipercayai terbabas ke tebing jalan yang ditenggelami air kira-kira 1.2 meter.

"Setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO), didapati tiada sebarang petunjuk mangsa berada di lokasi kejadian.

"PKO kemudiannya bertindak membuat pencarian di sekitar kawasan Felda Nitar 1 dan Felda Nitar 2," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Sementara itu, Jabatan Kerja Raya Mersing menerusi Facebook memaklumkan empat jalan di daerah itu telah ditutup kepada semua kenderaan melibatkan Jalan Nitar Utama, Jalan Tanah Abang, Jalan Semaloi dan Jalan Sri Mahkota, susulan dinaiki air.

- Bernama