Siasatan terhadap Zulkipli selesai
Siasatan mengenai dakwaan rasuah dan salahguna kuasa terhadap bekas Ketua Pengarah Badan Pencegah Rasuah (BPR), Datuk Seri Zulkipli Mat Noor telah selesai dan laporannya akan dihantar ke pejabat Peguam Negara sebelum akhir minggu ini.
Siasatan mengenai dakwaan rasuah dan salahguna kuasa terhadap bekas Ketua Pengarah Badan Pencegah Rasuah (BPR), Datuk Seri Zulkipli Mat Noor telah selesai dan laporannya akan dihantar ke pejabat Peguam Negara sebelum akhir minggu ini.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Christopher Wan Soo Kee berkata, semua pihak termasuk Zulkipli, telah memberikan kerjasama kepada polis.
Menurutnya lagi, keterangan daripada semua pihak telah dirakam dan pasukan khas yang menyiasat kes itu sedang menghalusi laporan tersebut.
Bercakap kepada pemberita di pejabatnya semalam, Wan berkata, pasukan khas polis itu yang terdiri daripada 10 pegawai daripada Bukit Aman, telah menjalankan tugas dengan baik, demikian menurut laporan Bernama.
Kini, katanya, terpulanglah kepada pejabat Peguam Negara untuk memutuskan tindakan selanjutnya.
Bekas pengarah BPR
Wan bagaimanapun enggan mengulas intipati hasil siasatan pasukan khas itu.
Dakwaan terhadap Zulkipli timbul berikutan laporan yang dibuat terhadapnya oleh bekas pengarah BPR Sabah Mohamad Ramli Manan, kepada bekas ketua polis negara Tan Sri Mohamed Bakri Omar tahun lalu, yang mendakwa Zulkipli memiliki harta yang tidak sepadan dengan sumber pendapatannya.
Mohamad Ramli, 56, yang bersara pada 8 Disember lalu mendakwa, laporan terhadap Zulkipli dibuat mengikut Seksyen 107 Kanun Prosedur Jenayah pada Julai 2006, yang membolehkan polis membuka kertas siasatan.
Perkhidmatan Zulkipli, 56, sebagai Ketua Pengarah BPR yang disambung secara pinjaman sebanyak tiga kali, tamat pada 31 Mac lalu. Sebelum menduduki jawatan tertinggi dalam jabatan itu, Zulkipli pernah berkhidmat dengan pasukan polis selama 20 tahun.

