Suruhanjaya Pilihanraya (SPRI) hari ini mengumumkan bahawa pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Ijok di Selangor akan diadakan pada 28 April ini.

Manakala hari penamaan calon bagi pilihanraya kecil tersebut telah ditetapkan pada 19 April ini.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman mengumumkan demikian selepas SPR mengadakan mesyuarat khas mengenai pilihanraya kecil itu.

Kerusi DUN berkenaan kosong berikutan kematian wakil rakyatnya dari MIC Datuk K Sivalingam Rabu lalu di Chennai, India kerana sakit jantung.

Mengikut daftar pemilih tersebut DUN N11 Ijok mengandungi 12,272 pemilih iaitu 12,233 pemilih awam dan 39 pemilih pos dengan 51.04 peratus pengundi Melayu, 28.16 peratus India dan 20.59 peratus Cina.

Menurut Abdul Rasyid, writ pilihanraya kecil itu dikeluarkan hari ini

manakala notis pula dikeluarkan esok.

Pilihanraya kecil itu dijangka bakal menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon BN dengan calon dari Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Setakat ini, Pengerusi PKR Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim disebut-sebut akan dipilih oleh parti itu untuk bertanding di DUN Ijok.

Sivalingam, 59, yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan MIC Selangor dan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perpaduan dan Pekerja Ladang Selangor, memenangi kerusi itu untuk penggal ketiga dalam pilihanraya umum lalu dengan menewaskan Abdul Rahman Moharam dari parti Keadilan dengan majoriti 1,649 undi.

Sementara itu, Bernama melaporkan, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo mengesahkan bahawa calon BN di Ijok adalah dari MIC.

Dengan itu, beliau yang juga Pengerusi Umno dan BN Selangor, menolak spekulasi bahawa BN akan meletakkan calon dari Umno bertanding di Ijok.

Calon berpotensi

Sebelum ini, Umno bahagian Kuala Selangor mendesak BN Selangor supaya meletakkan calon Umno bertanding di Ijok kerana majoriti pengundinya adalah orang Melayu.

Dilaporkan kerusi tersebut selama ini diperuntukkan kepada MIC kerana kawasan pilihanraya Ijok mempunyai jumlah pengundi kaum India yang teramai di Selangor.

Bercakap selepas mempengerusikan mesyuarat BN Parlimen Kuala Selangor semalam, Mohd Khir berkata hal itu telah dipersetujui sebelum ini.

"Jika ada pertukaran kerusi dengan Umno atau parti komponen lain, ia hanya akan dilakukan setelah proses persempadanan semula kawasan pilihanraya dilaksanakan," katanya.

Mohd Khir telah mengadakan perbincangan dengan Presiden MIC Datuk Seri S Samy Vellu dan Ketua Badan Perhubungan MIC Selangor Datuk G. Palanivel semalam mengenai senarai calon berpotensi untuk pilihanraya kecil itu.

Antara calon berpotensi ialah Ketua Penerangan MIC, M Saravanan; ahli-ahli Majlis Bandaraya Shah Alam, R S Maniam dan S Murugavellu; Ketua Bahagian MIC Kuala Selangor, P Thirumoorthy; dan ahli nggota jawatankuasa kerja pusat MIC, T Mohan dan S Murugesan.