Akta baru berkaitan dadah kurangkan kesesakan penjara - Saifuddin
Kerajaan merancang untuk menggubal akta baharu iaitu Akta Penyalahgunaan Dadah dan Bahan (Rawatan dan Pemulihan) dalam usaha untuk mengurangkan kesesakan tahanan di penjara, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata penggubalan akta berkenaan sedang dalam proses dan dijangka dibentangkan tahun ini.
"Bila akta baharu ini telah digubal, dilulus di sini (Dewan Rakyat), dilulus Dewan Negara, diwartakan untuk kita laksanakan maka kes seperti dadah ditemukan dalam badan seseorang, kita terus salurkan kepada program rawatan di bawah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).
"Sama ada di bawah rawatan pemulihan bawah institusi ataupun rawatan pemulihan dalam komuniti. Kalau kita hantar ke rawatan institusi bawah AADK, dia (pesalah bawah akta baharu itu) akan ditempatkan dua tahun, dia keluar dua tahun lagi sambung ke dalam rawatan peringkat komuniti.
"Kalau dia kita salurkan ke rawatan pemulihan komuniti, dia akan ditempatkan tiga tahun. Jadi berbeda sekarang (akta berkaitan dadah yang sedia ada), dia mungkin berakhir (hukuman) dalam penjara," katanya pada sesi soal jawab.
- Bernama
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/03/e84db1c963a73473fd5f0b3aaba064b7.jpg)
