'Kerajaan cadang tubuh jawatankuasa khas tambah baik pengurusan KL'
Kerajaan bercadang menubuhkan jawatankuasa khas melibatkan ahli parlimen di Kuala Lumpur dalam usaha menambah baik perkhidmatan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Azman Abidin berkata penubuhan jawatankuasa khas itu antara lain bertujuan meningkatkan peranan ahli parlimen di Kuala Lumpur dalam hal-hal berkaitan ibu kota.
"Fungsi jawatankuasa tersebut adalah kita nak peranan lebih diberikan kepada ahli parlimen bukan sahaja dalam penambahbaikan perkhidmatan tetapi juga dalam membuat keputusan berkaitan dasar-dasar utama.
"Ini supaya mereka rasa keterlibatan mereka dalam pentadbiran Kuala Lumpur dan bukan sebagai pengkritik sahaja," katanya kepada Malaysiakini.
Dia berkata sejumlah ahli parlimen akan dipilih oleh parti masing-masing untuk menganggotai jawatankuasa tersebut.
Selain itu, katanya lagi, ia akan turut dianggotai antaranya oleh wakil Datuk Bandar, Pejabat Tanah dan Galian Kuala Lumpur, pejabat setiausaha politik perdana menteri dan agensi-agensi berkaitan serta dipengerusikan Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan Rosida Jaafar.
Azman berkata jawatankuasa ini akan sedikit berbeza dengan Lembaga Penasihat Bandaraya Kuala Lumpur, antaranya ia tidak dianggotai ahli parlimen
"Fokus utama jawatankuasa ini adalah isu perumahan, kemiskinan bandar dan penjaja. Kita nak hasil bandar raya ini dinikmati semua.
"Ia merupakan salah satu langkah awal kerajaan dalam memperbaiki beberapa isu melibatkan dasar dan perkhidmatan dalam pentadbiran Kuala Lumpur " katanya lagi.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/01/1554559762d6ea3b8ccd758a4200c1b0.jpg)
