Risalah mengandungi dakwaan terhadap Taib diedar di Kuching
Ekoran media arus perdana tidak menyiarkan sebarang berita mengenai dakwaan pembabitan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud dalam skandal sogokan eksport balak, maka Parti Keadilan Rakyat (PKR) telah menyebarkan risalah mengenainya kepada penduduk Kuching.
Ekoran media arus perdana tidak menyiarkan sebarang berita mengenai dakwaan pembabitan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud dalam skandal sogokan eksport balak, maka Parti Keadilan Rakyat (PKR) telah menyebarkan risalah mengenainya kepada penduduk Kuching.
Risalah tersebut diedarkan kepada pengunjung pusat membelibelah di ibu negeri Sarawak itu yang mengandungi dakwaan bahawa Ketua Menteri dan keluarganya mendapat faedah daripada RM32 juta 'komisyen' yang dibayar oleh firma perkapalan yang mengangkut kayu balak ke Jepun.
Risalah tersebut juga mengandungi laporan
malaysiakini
mengenai skandal tersebut dalam tiga bahasa Inggeris, Bahasa Malaysia and Cina yang diedarkan kepada pengunjung Kompleks Membelibelah Electra House di Kuching dan pasaraya terbuka di Jalan India.
Risalah itu yang bertajuk 'Taib, Kami mahu kebenaran', diedarkan oleh pemimpin PKR petang semalam kepada pejalan kaki, pengunjung pusat membelibelah serta pemandu kenderaan yang lalulalang di situ.
Pengedaran risalah tersebut diketuai oleh Pengerusi PKR Sarawak, Wan Zainal Wan Sanusi di tengah-tengah kesibukan bandaraya Kuching untuk memaklumkan mengenai skandal tersebut kepada para penduduk. Turut sama ialah ketua cawangan Stampin dan peguam See Chee How.
"Kita mahu rakyat Sarawak tahu apa yang sedang berlaku kerana laporan (mengenai isu tersebut) tidak disiarkan oleh media tempatan," kata See kepada
malaysiakini.
Tujuh anggota polis beruniform serta berbelas-belas lagi anggota yang berpakaian biasa, memerhati gerak-geri pemimpin PKR itu ketika mereka mengedarkan risalah tersebut. Turut kelihatan ialah seorang jurugambar polis dan jurukamera video. Bagaimanapun, tidak berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini.
Para pemimpin pembangkang itu menuntut penjelasan Taib mengenai laporan tersebut yang mula-mula dilaporkan oleh akhbar Japan Times yang membabitkan beliau dan keluargannya dalam dakwaan bayaran sogokan berjumlah 1.1 bilion yen (RM32 juta) oleh sembilan firma perkapalan Jepun dalam tempoh tujuh tahun sehingga Mac tahun lalu.
Mengelak cukai
Ianya terbongkar selepas pihak berkuasa percukaian Jepun menuduhkan firma perkapalan terbabit cuba mengelak membayar cukai pendapatan dengan menyatakan bayaran kepada syarikat Regent Star yang berpejabat di Hong Kong itu yang didakwa ada kaitan dengan Taib dan keluargannya adalah bayaran perbelanjaan dan oleh itu, tidak dikenakan cukai.
Bagaimanapun, pihak berkuasa percukaian Jepun mendapati bayaran tersebut merupakan 'perbelanjaan yang tidak sah' kerana perkhidmatan yang diberikan oleh syarikat Hong Kong itu dipercayai syarikat atas kertas sahaja tidak sepadan dengan bayaran tersebut.
Akhbar itu juga melaporkan, firma-firma perkapalan terbabit mungkin dikenakan lebih 400 juta yen (RM11.6 juta) cukai tunggakan bersama hukuman berat yang lain kerana 'menyembunyikan" dana tersebut daripada pengetahuan pihak berkuasa.
Firma-firma terbabit disyaki membuat bayaran kepada syarikat Hong Kong tersebut sejak 26 tahun yang lalu, dan oleh itu, jumlah sebenarnya mungkin mencecah beberapa kali ganda daripada angka yang dilaporkan itu.
Firma-firma perkapalan tersebut menafikan telah melakukan sebarang kesalahan dan berhujah bahawa bayaran itu sah kerana ia merupakan komisyen yang dibayar kepada Regent Star.
Menurut akhbar Japan Times itu Khamis lalu, firma-firma perkapalan itu dipercayai menggunakan wang tersebut 'untuk mempermudahkan perniagaan kaya balak mereka".
Pengarah Dewaniaga Sarawak
Eksport balak dari Sarawak dikuasai oleh kerajaan negeri melalui Dewaniaga Sarawak yang diketuai oleh adik lelaki Ketua Menteri Sarawak itu.
Sumber-sumber industri perkapalan berkata, firma-firma terbabit dikehendak membayar 'yuran rundingan' jumlahnya bergantung kepada jumlah kayu balak yang dieksport kepada Regent Star atas arahan Dewaniaga Sarawak.
Dewaniaga Sarawak menandatangani perjanjian dengan kartel perkapalan Jepun pada 1981 mengenai pengangkutan kayu balak dari Sarawak ke Jepun, dan sembilan anggota kartel tersebut termasuk syarikat perkapalan utama, Mitsui O.S.K. Kinkai Ltd dan NYK-Hinode Line Ltd melaporkan mereka telah membayar 'komisyen' kepada Regent Star.
Sementara itu, semakan dengan pejabat Suruhanjaya Syarikat di Kuching mendapati antara pengarah Dewaniaga Sarawak ialah dua adik lelaki Taib Mohd Tufail Mahmud dan Onn Mahmud serta iparnya Abdul Aziz Hussain.
Pengarah yang lain terdiri daripada Presiden Dewan Perniagaan Cina Kuching, Wee Kok Tiong; anggota dewan tersebut, Lee Khin Sin, dan Mohd Azami Nawawi.
Ia mempunyai tiga pemegang saham Achi Transportation Sdn Bhd, syarikat yang ada kaitan dengan keluarga Taib, menjadi pemegang saham tersebut (104,000 saham), diikuti oleh Dewan Bersekutu Perniagaan dan Industri Cina Sarawak (70,000 saham) dan Koperasi Koppes (16,000 saham).
Ahli politik terkaya di M'sia
Taib, yang merupakan pemimpin yang paling lama menjadi ketua menteri, dipercayai salah seorang ahli politik Malaysia yang terkaya.
Keluarganya mempunyai kepentingan perniagaan yang besar di Sarawak sejak Taib memegang kuasa 26 tahun yang lalu.
Antaranya ialah syarikat tersenarai Cahaya Mata Sarawak yang mempunyai kepentingan perniagaan dalam bidang pembankan, perkhidmatan kewangan dan pembinaan dan banyak lagi anak-anak syarikat di mana isteri Taib Laila mempunyai pegangan yang besar.
Adalah dianggarkan bahawa keluarga Taib bernilai sekurang-kurangnya RM2 bilion, walaupun ianya tidak disahkan secara rasmi.
Sejak berita mengenai skandal itu disiarkan, Taib telah ke Johor untuk menghadiri istiadat penganugerahan darjah kebesaran oleh Sultan Johor, tetapi beliau tidak membuat sebarang komen mengenai laporan tersebut.
Isnin lalu, ketika ditanya mengenainya, Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata beliau tidak sedar tentang perkara tersebut. Berita asal

