Kementerian Kesihatan akan menyiasat dakwaan yang seorang wanita dilarang masuk ke hospital di Kuantan, Pahang kerana pemakaiannya.

Dakwaan itu dibangkitkan seorang pengguna Twitter yang memuat naik video memaparkan pengawal keselamatan menghalang wanita itu, yang memakai seluar yang menutupi lututnya, daripada masuk ke premis yang dipercayai sebuah hospital.

Timbalan Menteri Kesihatan Lukanisman Awang membalas ciapan tersebut dengan mengatakan ia tidak sepatutnya berlaku.

"Saya akan meneliti perkara ini. Tidak wajar berlaku. Terima kasih kerana memaklumkannya kepada Kementerian Kesihatan," katanya.

Dalam video itu, seorang wanita dilihat hanya diam ketika lelaki yang membuat rakaman menceritakan apa yang berlaku.

Menurutnya, "pengurusan hospital" yang membuat larangan itu.

Pada Februari lalu, seorang wanita didakwa dihalang mendapat rawatan di Hospital Kampar di Perak kerana memakai seluar pendek.

Dia hanya menerima rawatan selepas mengenakan seluar panjang.

Susulan itu, Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa mengingatkan kakitangan kesihatan agar sentiasa menegakkan Hippocratic Oath yang diikrar para doktor dan pengamal perubatan, termasuk membantu pesakit sebaik mungkin.