Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pemimpin Bersatu jangka Muhyiddin ditahan SPRM hari ini

Ketua Penerangan Bersatu, Razali Idris menjangkakan presiden partinya Muhyiddin Yassin akan ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini selepas hadir memberi keterangan di ibu pejabat badan siasatan itu di Putrajaya.

Malah, Razali juga turut mengjangkakan bekas perdana menteri itu juga akan didakwa di mahkamah esok.

“Hari ini adalah hari tindakan kerajaan Madani yang dipimpin oleh Anwar Ibrahim yang mana Muhyiddin diarahkan untuk ke pejabat SPRM untuk dirakamkan keterangan.

"Dijangka beliau (Muhyiddin) akan ditahan dan esok akan didakwa di mahkamah. Kami melihat tindakan ini adalah sangat tidak berperikemanusiaan kerana kami dalam keadaan untuk pemilihan parti esok.

“Lepas itu Dewan Rakyat sedang bersidang dan tuduhan kepada beliau kita nampak tidak seperti mana yang diwar-warkan,” katanya kepada pemberita di pekarangan ibu pejabat SPRM, Putrajaya.

Terdahulu Muhyiddin yang juga bekas perdana menteri mengesahkan perkara itu menerusi kenyataan di Facebook, susulan spekulasi dia akan dihadapkan dengan pertuduhan di mahkamah.

Ketua Penerangan Bersatu, Razali Idris

Dia juga menegaskan laporan bahawa dia telah ditahan di padang golf semalam adalah tidak benar.

Sejak pertengahan bulan lepas, beberapa pemimpin Bersatu telah dihadapkan ke mahkamah.

Pada 21 Februari, ketua penerangan Bersatu ketika itu Wan Saiful Wan Jan berdepan dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah RM6.9 juta pada 2022.

Beberapa pertuduhan juga dikenakan terhadap Timbalan Ketua Bersatu Segambut Adam Radlan Adam Muhammad.

Menurut SPRM, pertuduhan-pertuduhan itu berkaitan skim Jana Wibawa - inisiatif untuk mempercepat penyampaian projek bagi merangsang pemulihan ekonomi selepas Covid-19.

Turut didakwa Teo Wee Cheng, yang menjalankan perniagaan di kawasan Pagoh, kubu kuat Muhyiddin.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS