'Ahli parlimen PN tak hadir sidang sebab solidariti Muhyiddin?'
Sidang Dewan Rakyat sedikit sunyi pagi ini apabila sebilangan besar ahli parlimen pembangkang tidak hadir.
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Chan Foong Hin memberitahu Malaysiakini bahawa dia hanya melihat tujuh ahli parlimen pembangkang di Parlimen hari ini.
Dia juga sepatutnya menjawab Ahli Parlimen Merbok Mohd Nazri Abu Hassan di Dewan Rakyat hari ini tetapi soalan itu dilangkau kerana ahli parlimen Perikatan Nasional (PN) itu tidak hadir.
Walaupun punca ketidakhadiran mereka tidak dapat dipastikan, Chan mempersoalkan sama ada ia disebabkan pengerusi gabungan itu Muhyiddin Yassin dipanggil ke ibu pejabat SPRM awal hari ini.
“Adakah mereka pergi ke SPRM?” soal Chan.

Muhyiddin yang juga presiden Bersatu mengesahkan semalam bahawa dia telah dipanggil untuk disoal siasat di SPRM pada 11 pagi hari ini.
Kira-kira 100 penyokongnya dilaporkan berkumpul di luar ibu pejabat agensi itu seawal jam 9 pagi sebagai tanda sokongan kepada ahli parlimen Pagoh itu.
Ramai penyokong dilihat memakai baju-T putih yang memaparkan imej Muhyiddin.
Antara yang kelihatan di pekarangan ibu pejabat SPRM di Putrajaya adalah Timbalan Pengerusi PN Ahmad Faizal Azumu, Ahli Parlimen Indera Mahkota Saifuddin Abdullah, Ahli Majlis Tertinggi Bersatu Mohamed Azmin Ali dan Ketua Penerangan Pemuda Bersatu Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir.
Ketua Penerangan Bersatu Razali Idris berkata mereka menjangkakan Muhyiddin akan ditahan selepas kenyataannya direkodkan oleh SPRM hari ini.
Dia juga mengjangkakan Muhyiddin akan didakwa di mahkamah esok.

Jika didakwa, Muhyiddin akan menyertai beberapa siri pemimpin Bersatu yang telah didakwa sejak pertengahan Februari lalu.
Ketua Penerangan Bersatu Wan Saiful Wan Jan dan Timbalan Ketua Bersatu Segambut Adam Radlan Adam Muhammad kedua-duanya didakwa bulan lepas berhubung skim Jana Wibawa.
Program Jana Wibawa adalah projek rangsangan ekonomi oleh pentadbiran Muhyiddin ketika itu sebagai sebahagian daripada usaha bantuan wabak Covid-19.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/03/e43e4127d6570e11aec7ca0a30401f42.jpg)
