Sejarah Umno halang pertandingan dua jawatan tertinggi
Umno mempunyai sejarah menghalang pertandingan terbuka untuk dua jawatan tertinggi semasa pemilihan kepimpinan.
Ini di sebalik fakta bahawa Perkara 9.3 perlembagaannya mensyaratkan supaya dua jawatan itu, daripada 30 yang lain, dipilih setiap tiga tahun.
Tidak seperti keputusan parti terkini untuk menyekat pertandingan sebegitu, Umno sebelum ini mempunyai seorang pemimpinnya yang memegang jawatan menteri dalam negeri - menteri yang mempunyai kuasa untuk mengecualikan mana-mana persatuan daripada sebarang ketetapan dalam Akta Pertubuhan 1966.
Di bawah Akta Pertubuhan, Pendaftar Pertubuhan hendaklah memastikan persatuan, termasuk parti politik, mematuhi peraturan mereka sendiri.
Artikel ini akan melihat kejadian yang Umno tidak mengikuti Perkara 9.3 perlembagaannya.
2017 - namun ia tidak penting
Insiden kedua terbaharu berlaku pada 2017 apabila Najib Razak dan Ahmad Zahid Hamidi masing-masing memegang dua jawatan tertinggi.

Ketika itu, kedua-dua mereka sedang mempersiapkan BN untuk pilihan raya umum ketika parti berkenaan dilanda skandal 1MDB dan pemecatan beberapa pemimpin tertinggi parti.
Semasa perhimpunan agung Umno tahun itu, Mohamad Sahfri Ab Aziz, yang mewakili Pemuda Umno, memfailkan usul tambahan untuk menghalang dua jawatan tertinggi daripada dipertandingkan apabila pemilihan pucuk pimpinan parti akan diadakan pada 2018.
Sahfri berhujah ini perlu sebagai simbol kesetiaan kepada jawatan presiden parti dan parti.
Usul itu dibahaskan dan diluluskan oleh perwakilan.
Pada masa itu, Zahid adalah menteri dalam negeri manakala Khairy Jamaluddin adalah ketua Pemuda Umno.

Khairy kini menjadi pengkritik besar terhadap keputusan parti untuk melakukan langkah serupa untuk menghalang dua jawatan tertinggi - kini diisi oleh Zahid dan Mohamad Hasan - daripada ditandingi.
Akhirnya, usul Sahfri tidak relevan kerana Najib tidak mempertahankan jawatannya sebagai presiden Umno berikutan kekalahan BN pada pilihan raya umum ke-14, yang membuka jalan kepada pertandingan tiga penjuru antara Zahid, Khairy, dan Tengku Razaleigh Hamzah pada September 2018.
Pakatan Najib-Muhyiddin
Pada Jun 2013, BN baru sahaja memenangi pilihan raya umum ke-13 dengan kedudukan yang lebih teruk berbanding pilihan raya sebelumnya pada 2008 dan ini memberi tekanan kepada kepimpinan parti.
Memandangkan pemilihan kepimpinan Umno perlu diadakan pada Oktober, terdapat kempen sengit untuk memastikan dua pemimpin tertinggi mereka - Najib dan Muhyiddin Yassin - tidak akan dicabar.

Antara lain, mereka yang menyokong senario "tidak bertanding" ialah bekas presiden Umno Dr Mahathir Mohamad, yang percaya pertandingan hanya akan melemahkan parti dengan menyebabkan perpecahan.
Sepanjang Jun 2013, terdapat ramai pemimpin parti yang menyokong senario "tiada pertandingan".
Bagaimanapun, perwakilan parti tidak diminta mengundi mengenai perkara itu, tidak seperti Januari tahun ini.
Akhirnya, Najib dan Muhyiddin mengekalkan jawatan masing-masing tanpa perlu bertanding apabila pencalonan diadakan pada September 2013.
Dr Mahathir-Anwar
Pada 1996, Malaysia menyaksikan pertumbuhan KDNK dua angka di bawah pimpinan Mahathir dan timbalannya Anwar Ibrahim, yang juga menteri kewangan.

Kedua-dua mereka juga merupakan dua pemegang jawatan tertinggi Umno. Ketika itu, satu usul telah diluluskan oleh perhimpunan perwakilan tahunan Umno untuk mengelakkan mereka daripada dicabar.
Menurut Timbalan Ketua Umno Johor, Nur Jazlan Mohamed, usul itu dikemukakan oleh Umno Bahagian Pulai, yang ketika itu diterajui bapanya, Allahyarham Mohamed Rahmat.
Pada masa itu, Anwar adalah bintang yang sedang meningkat naik dalam Umno, setelah memenangi jawatan timbalan presiden pada 1993 tanpa bertanding selepas penyandangnya, Ghafar Baba, enggan mempertahankan kerusinya selepas mendapat pencalonan yang kecil berbanding Anwar.
Mahathir juga merupakan menteri dalam negeri pada masa itu.
“Tujuan usul itu adalah untuk mengekalkan kedua-dua pemimpin dan mengelakkan pertandingan yang akan memecahbelahkan parti. Tetapi perpecahan berlaku apabila Mahathir memecat Anwar sebagai timbalan perdana menteri pada 1998.
"Ini menyebabkan keretakan dalam Umno dan orang Melayu bandar mula menyokong PKR," tulis Nur Jazlan di laman Facebook pada Januari, apabila cadangan "tidak bertanding" terbaru ditimbulkan.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2019/12/51a38f46fb70746e289f6e00f9a1c120.jpg)
