Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainudin mempersoalkan tindakan Menteri Dalam negeri (KDN) Saifuddin Nasution Ismail yang menggunakan kuasa budi bicaranya untuk mengecualikan Umno daripada dibatalkan pendaftaran di bawah Pendaftar Pertubuhan (ROS).

Menurut bekas menteri KDN itu, sepatutnya kuasa menteri itu digunakan setelah Umno diharamkan, sebaliknya Saifuddin mendahuluinya.

"Sepatutnya kalau parti itu telah diharamkan barulah ada kuasa. Sebelum ada apa-apa nak pre-empt (mendahului) apa maknanya?

"Memang betullah dia rasa sepatutnyalah Umno diharamkan, itu persoalan yang ada di kalangan rakyat.

"Rakyat tanya saya, masa saya dalam KDN dulu apa yang saya buat, saya kata benda yang sama kalau sesuatu pertubuhan boleh diharamkan atau tidak ada melakukan kesalahan, yang nak guna seksyen 70 ini kenapa?” soalnya.

Hamzah berkata demikian kepada media ketika ditemui di pekarangan Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya, hari ini.

Ahli Parlimen Larut itu antara pemimpin Bersatu yang turut hadir memberi sokongan kepada presiden mereka Muhyiddin Yassin yang dipanggil SPRM.

Terdahulu Saifuddin dilaporkan menggunakan kuasanya untuk mengecualikan Umno daripada dibatalkan pendaftarannya.

Dia berkata kementeriannya memberi pengecualian daripada pematuhan Seksyen 13(1)(c)(iv) Akta Pertubuhan 1966 kepada Umno.

Ia berhubung usul tambahan yang diluluskan dalam Perhimpunan Agung Umno 2022 berkaitan jawatan presiden dan timbalan presiden Umno yang tidak dipertandingkan pada pemilihan parti.

Katanya, keputusan itu dibuat setelah meneliti ketetapan yang dibuat oleh perhimpunan itu daripada setiausaha Agung Umno pada 3 Mac 2023.

Sementara itu Hamzah berkata, tindakan Saifuddin itu mendahului perkara yang akan terjadi (pengharaman Umno).

Justeru katanya, rakyat terutamanya ahli Umno kena sedar bahawa ada banyak perkara yang sepatutnya dipersoalkan dan terpulang kepada ahli parti.

"Kalau boleh dipersoalkan bagaimana dipersoalkan, bagaimana caranya mereka ambil (tindakan).

"Terpulang kepada parti, setiap orang ada pandangan dan hak untuk lakukan apa yang mereka rasa perlu, selagi mana dia ikut undang-undang negara ini," katanya.