Tiada “campur tangan luar” daripada mana-mana pihak untuk menyelamatkan Umno daripada dibatalkan pendaftarannya berikutan usul parti itu menghalang pertandingan dua jawatan tertingginya dalam pemilihan akan datang, kata Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi.

Bercakap dalam sidang akhbar di Dewan Rakyat hari ini, Zahid berkata usul kontroversi berkenaan diputuskan oleh Perhimpunan Agung Umno 2022, yang mempunyai kuasa tertinggi dalam parti.

"Namun, apabila Perhimpunan Agung (Umno) sudah buat keputusan dan keputusan itu diterima lebih 95 peratus perwakilan, maka kita masih santuni aduan yang dibuat oleh dua ahli Umno itu.

"Kita rasakan ini bukan soal campur tangan pihak luar tetapi ini suatu klausa Akta Pertubuhan 1966 yang antara lain, bahawa ROS perlu berikan keabsahan terhadap sesuatu keputusan.

"Ini kita terima kerana ia akta diluluskan oleh parlimen," katanya kepada pemberita di parlimen hari ini.

Kenyataan Ahmad Zahid itu dibuat selepas bekas naib presiden Umno, Hishammuddin Hussein mendakwa parti itu mengheret Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail dalam isu pembatalan pendaftarannya.

Menerusi ruangan komen video yang disiarkan oleh bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin di Instagram pada Selasa lalu, Hishammuddin mencadangkan Zahid dan mereka yang sehaluan dengannya memecat Khairy daripada parti sebagai langkah awal memelihara kedudukan masing-masing.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata ia merupakan "pendapat peribadi", namun mengingatkan mereka yang membuat dakwaan sedemikian bahawa Seksyen 70 Akta Pertubuhan 1976 adalah akta yang diluluskan oleh Parlimen.

"Seperti yang disebut oleh Menteri Dalam Negeri (Saifuddin), jika ada yang tidak berpuas hati dengan keputusan itu, mereka boleh membuat aduan dan membawanya ke mahkamah," katanya.

Semalam, Saifuddin berkata sekiranya ahli Umno yang membawa isu berkenaan kepada ROS sebelum ini tidak berpuas hati dengan keputusan itu, mereka boleh membawanya ke mahkamah.

Dia menjawab soalan beberapa ahli parlimen ketika perbahasan Belanjawan 2023 yang mempertikai keputusannya menggunakan Seksyen 70 undang-undang berkenaan untuk mengecualikan Seksyen 13(1)(c)(iv) daripada digunakan terhadap Umno.

Seksyen 70 akta itu memberi kuasa secara khusus kepada menteri untuk menggunakan budi bicaranya bagi mengecualikan mana-mana pertubuhan yang didaftarkan di bawah Akta Pertubuhan daripada semua atau mana-mana peruntukan Akta tersebut.

Pada Selasa lalu, Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan (Kota Bharu-PN) meminta kepastian sama ada surat ROS yang dikatakan bocor kepada Umno baru-baru ini adalah sahih.

Menurut surat yang tersebar secara meluas di internet, ROS menggesa Umno mengambil "langkah pembetulan" kerana keputusan menghalang pemilihan dua jawatan tertinggi itu adalah tidak sah.

Takiyuddin juga menuntut Saifuddin menjelaskan rasional di sebalik memberi pengecualian kepada Umno, selain memberi amaran bahawa ia bakal menjadi duluan yang buruk.

Bagaimanapun Saifuddin ketika di Dewan Rakyat semalam enggan menjawab isu mengenai surat itu dan sebaliknya meminta sekali legai kepada mereka yang tidak berpuas hati supaya membawa perkara itu ke mahkamah.