Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil telah mengeluarkan amaran keras kepada vendor peralatan rangkaian 5G supaya berhenti melobi bagi tender membina rangkaian milik kerajaan melalui media.

Bercakap di Dewan Rakyat hari ini, Fahmi (Pakatan Harapan – Lembah Pantai) berkata kerajaan akan menghormati kontrak dalam tender yang diberikan kepada gergasi telekomunikasi Sweden Ericsson sebagai penyedia bagi penggunaan rangkaian 5G Malaysia di seluruh negara.

"Jika ia sudah ditandatangani, kami akan hormat.

"Saya tak kan melayan lobi daripada kenyataan dibuat, sama ada media di dalam negara ataupun luar, kita tidak akan terkesan dari segi penilaian, perbincangan, penilitian...

"Hentikan, tidak ada lagi melobi melalui media di dalam negara atau luar.

“Cukup, jadi benarkan, beri kami ruang untuk bincang hinggalah ke penghujung," katanya pada ucapan penggulungan bagi Kementerian Komunikasi dan Digital di Dewan Rakyat hari ini.

Dia berkata demikian ketika menjawab soalan Chong Zhemin (PH–Kampar) mengenai pandangan kementeriannya terhadap laporan Financial Times, bertajuk ‘Huawei fights for a role as Malaysia reviews 5G tender’ (Huawei berusaha keras untuk dapatkan peranannya ketika Malaysia semak semula tender 5G).

Chong memetik laporan yang mendedahkan bahawa pengeluar peralatan telekomunikasi terbesar China, Huawei, antara beberapa yang lain, sedang bergelut untuk merebut anugerah tender 5G di negara itu.

Ahli parlimen DAP itu juga meminta penjelasan Fahmi mengenai implikasi terhadap status kewangan negara sekiranya tender - untuk mereka bentuk dan membina rangkaian 5G nasional - diberikan kepada Huawei.

Pada Disember, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengarahkan semakan kontrak rangkaian 5G bernilai RM11 bilion yang diberikan oleh Digital Nasional Berhad (DNB) - sebuah agensi di bawah Kementerian Kewangan - kepada Ericsson di bawah pentadbiran terdahulu.

Anwar berkata rancangan 5G akan dinilai untuk memastikan ia mematuhi prosedur, dengan mendakwa bahawa "tiada proses tender yang betul".

Bagaimanapun, dia tidak menyatakan butiran mengenai perkara itu.

Pada Januari, Fahmi dilaporkan berkata bahawa kerajaan sedang menilai penggunaan 5G sambil memastikan bahawa pelancaran semasa oleh DNB tidak akan terganggu.

Ahli parlimen PKR itu dipetik berkata oleh Free Malaysia Today bahawa masih terlalu awal untuk menyatakan bila kabinet akan membuat keputusan tetapi dia menjangkakan "akan ada yang dimuktamad" pada suku pertama tahun ini.

Untuk rekod, Ericsson kini merupakan vendor tunggal yang melancarkan rangkaian 5G negara.

Lihat Komen
ADS