Hanya tiga daripada 700 sertai MCA bekas ahli DAP
DAP Johor menjelaskan hanya tiga daripada 700 orang yang dilaporkan menyertai MCA Sabtu lalu disahkan sebagai bekas ahli parti pembangkang itu.
DAP Johor menjelaskan hanya tiga daripada 700 orang yang dilaporkan menyertai MCA Sabtu lalu disahkan sebagai bekas ahli parti pembangkang itu.
Pengerusinya, Dr Boo Cheng Hau berkata, mereka termasuk bekas ketua pendidikan politik DAP Johor, Wong Kok Fong.
Beliau juga menafikan laporan yang menyatakan Wong adalah calon DAP bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kulai, Johor dalam pilihanraya umum 1999.
Sehubungan itu, Dr Boo menyifatkan angka 700 orang itu hanya satu rekaan semata-mata kerana jumlah ahli DAP di kawasan Kulai tempat Wong hanya kira-kira 200 sahaja.
Beliau mengulas laporan akhbar hujung minggu lalu mengenai 700 ahli dan penyokong DAP termasuk Wong, telah menyertai MCA Johor ketika kempen pilihanraya kecil Machap sedang berlangsung.
Menurut laporan tersebut, pengumuman dan penyerahan borang menjadi ahli MCA itu dibuat di hadapan Naib Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek selepas mesyuarat perhubungan MCA Johor Sabtu lalu.
'Penerbit' drama
Sehubungan itu, Dr Boo berkata, Dr Chua yang juga Pengerusi MCA Johor boleh mengesahkan dengan DAP sama ada kesemua 700 ahli baru itu pernah menjadi ahli DAP.
Dr Boo berkata, pihaknya tidak menyangka MCA akan menggunakan taktik seumpama itu semasa kempen pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap sekarang.
"Dalam pilihanraya umum 2004, ketika Dr Chua pertamakali bertanding kerusi Parlimen Labis, 30 hingga 50 ahli DAP didakwa masuk MCA, sedangkan apa yang sebenarnya berlaku ialah kurang daripada lima ahli DAP yang tidak lagi aktif yang berbuat demikian," katanya dalam satu kenyataan.
Sehubungan itu, Dr Boo menyifatkan Dr Chua sebagai "penerbit" drama politik yang menurutnya tidak sihat untuk suasana politik Malaysia dan terhadap usaha membina sebuah masyarakat yang telus, bersih dan demokratik.
Di samping itu, beliau menjelaskan Wong (Kok Fong) tidak dicalonkan mewakili DAP di kerusi DUN Kulai pada pilihanraya umum 1999.
Dr Boo berkata, pencalonannya ditolak sebulat suara oleh pihak parti kerana masalah peribadinya.

