Calon DAP dalam pilihanraya kecil Machap, Liou Chen Kuang berkata, sokongan pengundi Melayu kepadanya semakin meningkat sejak pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) membantu kempennya sejak beberapa hari lalu.

Katanya, beliau mendapat sokongan bukan sahaja di kalangan pengundi Melayu di taman-taman perumahan, malahan di kawasan gugusan Felda yang selama ini merupakan penyokong kuat Barisan Nasional (BN).

"Isyarat ini diperolehi daripada lawatan saya dan jentera pilihanraya DAP ke kawasan majoriti pengundi Melayu, termasuk di kawasan Felda Tun Ghafar Hutan Percha di mana ramai di antara mereka berkata akan mengundi saya.

"Jika mendapat lebih banyak undi dari kawasan Melayu, peluang untuk saya menang lebih cerah kerana sebelum ini saya sangat kurang mendapat undi dari kawasan Melayu, terutama di kawasan Felda," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadiri majlis minum petang untuk membantu Liou berkempen di Machap Umboo petang tadi.

Hadir sama ialah Setiausaha Agung DAP, Lim Guang Eng; Bendahari PKR, Tan Sri Khalid Ibrahim dan Naib Presiden PKR, Azmin Ali serta kira-kira 200 penyokong DAP.

Dalam pilihanraya kecil DUN Machap esok, Liou berdepan dengan calon BN, Lai Meng Chong. Jumlah pengundi berdaftar Machap ialah 9,623 orang. Dalam pilihanraya umum 2004, Liou mendapat 1,285 undi manakala calon BN, Datuk Wira Poh Ah Tiam, 5,847 undi.

Anwar turut bantu

Sementara itu, kedatangan Anwar membantu calon DAP itu mendapat tepukan gemuruh dari ahli dan penyokong parti itu.

Sepanjang ucapan kira-kira 30 minit, orang ramai tidak putus bertepuk tangan setiap kali Anwar bercakap dalam bahasa Mandarin.

Dalam ucapannya, Anwar menggesa pengundi Machap mengundi Liou kerana calon DAP itu mewakili semua kaum Cina, Melayu dan India.

"Orang tanya saya, mengapa saya sokong DAP sedangkn ia parti orang Cina. Saya jawab ini Malaysia baru, tidak ada perkauman lagi," katanya.

Anwar yang juga penasihat PKR berkata, pengundi Machap perlu memberi pengajaran kepada pemimpin Umno yang menurutnya "sangat sombong sehingga tidak mempedulikan undang-undang dan menjadikan Malaysia seolah-olah negara milik mereka".

"Jangan jadi Menteri Pelajaran (Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein)...apabila kita bercakap, dia keluarkan keris untuk takutkan orang," katanya.

Beliau berkata, pemimpin kerajaan lebih gemar membantu orang kaya yang tinggal di Putrajaya dan Petaling Jaya tetapi tidak mempedulikan nasib rakyat di Machap.