Anwar menenggelamkan penceramah MCA di Machap
Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membuktikan beliau masih mempunyai pengaruh yang kuat di kalangan pengundi apabila berceramah di Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap malam tadi.
Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membuktikan beliau masih mempunyai pengaruh yang kuat di kalangan pengundi apabila berceramah di Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap malam tadi.
Dua majlis ceramah penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu di Machap Baru dan Melaka Pindah sesak dengan ribuan manusia yang hadir untuk mendengar beliau berkempen membantu calon DAP, Liou Chen Kuang, menghadapi calon Barisan Nasional (BN), Lai Meng Chong.
Di Machap Baru yang merupakan kawasan majoriti pengundi Cina, Anwar (kiri) menenggelamkan penceramah-penceramah MCA, termasuk Ketua Pemudanya, Datuk Liow Tiong Lai (kanan) yang berceramah tidak jauh dari situ.
Sebaik Anwar memulakan ceramahnya pada jam 9 malam, orang ramai yang mendengar ceramah Liow beralih ke pentas DAP tempat Anwar berucap.
Keadaan ini menyebabkan sekitar kawasan pentas DAP itu sesak kerana dianggarkan kira-kira 1,000 hadir berbanding 200 orang yang mendengar ceramah Liow.
Kesesakan itu menyebabkan anggota polis trafik berkawal bagi melancarkan lalulintas di kawasan tersebut.
'Budak suruhan Umno'
Begitu juga ketika Anwar di Kampung Melaka Pindah yang terletak kira-kira lima kilometer dari Machap Baru. Di kampung majoriti pengundi Melayu itu, Anwar bercakap mengenai Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang menurutnya hanya mengkayakan pemimpin-pemimpin Barisan Nasional (BN).
Dalam ucapannya di Machap Baru, Anwar mendakwa MCA menjadi budak suruhan Umno kerana hanya mengiyakan semua cakap Umno.
Katanya, pemimpin MCA, baik yang menjadi menteri dan Ahli Parlimen, tidak bercakap apa-apa meskipun dalam isu yang membabitkan kaum Cina.
"Subjek Matematik dan Sains diajar dalam bahasa Inggeris, MCA tak buat apa-apa, saya kata DEB kena tukar, MCA diam sahaja," katanya disambut tepukan orang ramai.
Anwar juga mendakwa Badan Pencegah Rasuah (BPR) menutup kes-kes rasuah yang membabitkan para pemimpin Umno.
'Membela rakyat'
"Mengapa Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi membiarkan perkara ini tanpa mengambil sebarang tindakan mengatasinya," katanya.
Sementara ketika berucap di Melaka Pindah, Anwar berkata, hasratnya selepas dibebaskan dari penjara ialah untuk membela rakyat dan membawa perubahan kepada mereka.
Katanya, Malaysia hanya maju jika semua kaum Melayu, Cina dan India dimajukan bersama dan bukannya berlaku pilih kasih seperti yang diamalkan sekarang.
"Saya tidak akan khianat kepada rakyat, sebaliknya akan membela mereka. Negara kita ada banyak hasil tetapi rakyat miskin," katanya.
Beliau dipecat dari Umno dan jawatan Timbalan Perdana Menteri pada September 1999 oleh Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Anwar selepas itu dihukum penjara selama enam tahun pada 1999 atas kesalahan penyalahgunaan kuasa. Beliau berjaya dalam rayuannya di Mahkamah Persekutuan terhadap sabitan dan hukuman atas tuduhan liwat dan dibebaskan pada 2004.

