Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), Tan Sri Abu Talib Othman berkata, beliau hairan kenapa hakim Mahkamah Syariah tidak mendapat keistimewaan setaraf hakim di Mahkamah Sivil sedangkan status kedua-dua mahkamah itu adalah sama.

Katanya, dari segi perkhidmatan, malahan dari segi protokol seperti dalam majlis rasmipun, hakim Mahkamah Syariah tidak diberi layanan seperti rakan setugas di Mahkamah Sivil.

"Saya hairan mengapa hakim Mahkamah Syariah tidak diberi keistimewan yang sama, sedangkan kedua-dua pihak itu menjalankan tugas yang sama iaitu melaksanakan keadilan dan kedudukan kedua-dua cabang kehakiman itu adalah setaraf," katanya.

Menurut Bernama, beliau memberitahu pemberita demikian selepas merasmikan Bengkel Hak Kepada Perbicaraan Segera Dan Adil Di Mahkamah Syariah Ke Arah Penyelesaian Yang Praktikal, di Kuala Lumpur hari ini.

Abu Talib, yang juga bekas Peguam Negara, berkata kerajaan harus meneliti perkara itu dan mencari jalan penyelesaian kerana memang terdapat persepsi seolah-olah kedudukan hakim Mahkamah Syariah lebih rendah.

Katanya Mahkamah Syariah merupakan satu cabang badan kehakiman negara, cuma yang berbeza ialah dari segi aspek kuasa kerana ia mentadbir hukum Syariah manakala Mahkamah Sivil mentadbir undang-undang sivil.

Persepsi lebih rendah

"Jelaslah bahawa Mahkamah Syariah adalah setaraf dan tidak rendah daripada Mahkamah Sivil dalam sistem perundangan negara ini.

"Sepatutnya kedudukan adalah setaraf antara kedua cabang mahkamah itu, supaya tidak akan timbul persepsi yang kedudukan Hakim Mahkamah Syariah lebih rendah," katanya.

Mengenai perkara lain, Abu Talib berkata, orang bukan Islam boleh memberi keterangan saksi pada perbicaraan di Mahkamah Syariah supaya mahkamah dapat mencari keadilan.

Katanya peruntukan Akta Mahkamah Syariah membolehkan orang bukan Islam memberi keterangan di Mahkamah Syariah.

Ketua Hakim Syarie Datuk Sheikh Ghazali Abdul Rahman pula berkata bahawa sejak bilangan hakim ditambah dan perbicaraan di Mahkamah Syariah dipercepatkan, tidak banyak lagi kes yang tertangguh.

"Malahan kes yang didaftarkan dapat diselesaikan dalam masa kurang setahun dan ada yang dapat diselesaikan dalam masa tiga bulan," katanya.