Selebriti lembut pengaruhi remaja masakini, kata Pemuda PAS WP
Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) bersetuju dengan pandangan Anggota Exco Kerajaan Negeri Terengganu, Datuk Rosol Wahid bahawa selebriti lembut telah banyak mempengaruhi para remaja masakini.
Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) bersetuju dengan pandangan Anggota Exco Kerajaan Negeri Terengganu, Datuk Rosol Wahid bahawa selebriti lembut telah banyak mempengaruhi para remaja masakini.
"Media massa, terutamanya saluran televisyen dan radio telah banyak mempromosikan golongan ini sama ada sebagai pengacara, artis, atau pesonaliti media," kata Ketua Penerangan DPPWP Herman Samsudeen.
Katanya, mereka telah diberikan ruang seluas-luasnya untuk menampilkan bakat dan pesonaliti lembut mereka yang kadangkala seperti dibuat-buat.
"DPPWP melihat bahawa Kerajaan BN Negeri Terengganu turut bersama dengan mereka bagi mempromosikan golongan ini," katanya.
Herman mengulas laporan media hari ini yang menyebut Terengganu kini mengalami masalah peningkatan golongan 'pondan' atau lebih lembut lagi disebut sebagai 'mak nyah.
Laporan akhbar Kosmo hari ini, memetik pengakuan rasmi Rosol yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam Hadhari dan Kebajikan Terengganu mengenai peningkatan gejala yang tidak sihat ini di negeri itu.
Herman mendakwa, program perkampungan Islam Hadhari di Terengganu sebenarnya satu penipuan massa yang dilakukan oleh kerajaan negeri bagi memikat rakyat.
"Hakikatnya, program tersebut jika dilakukan di negeri lain...ianya dipanggil Karnival Jom Heboh yang dahulunya dikenali sebagai Sure Heboh. Di sinilah kerajaan negeri bersekongkol dengan pihak media dan artis bagi mempromosikan selebriti lembut ini seterusnya merosakan belia dan remaja Terengganu," tegasnya.
Merebak ke Pantai Timur
Bagi DPPWP, katanya, fenomena mak nyah ini bukanlah sesuatu yang luar biasa kerana ia sudah lama bertapak di Kuala Lumpur, sebuah negeri yang ditadbir oleh BN.
Kini, tegas Herman, kudis dan kejelekan itu telah merebak ke Pantai Timur melalui Gelombang Biru.
"Dahulu rakyat Terengganu bangga dengan perkataan Darul Iman, kini mereka harus malu kerana kesilapan mereka yang memilih pemimpin yang lemah dan banyak membawa kemaksiatan ke negeri tersebut," tambahnya.
Oleh itu, kata Herman, DPPWP menyeru rakyat Terengganu supaya bangkit sebelum "anak-anak anda juga menjadi mak nyah, (dan) seterusnya memalukan seluruh kaum kerabat dan suku sakat anda'.
"DPPWP sedar bahawa memang ada manusia yang dilahirkan dengan jiwa yang lembut walaupun hakikatnya mereka itu adalah lelaki. tetapi mereka seharusnya memahami fitrah semulajadi dan tidak terlalu mengikutkan naluri serta nafsu semata-mata," katanya.
Tindakan memenjarakan golongan ini juga gagal menyelesaikan masalah tersebut dan oleh itu, sesuatu perlu dilakukan untuk membantu mereka.
"DPPWP yakin PAS Terengganu mampu melakukannya. DPPWP berharap rakyat Terengganu belajar daripada pengalaman ini, dan bangkit membuat perubahan dalam pilihanraya umum akan datang," katanya.

