Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
K'jaan sasar pelepasan gas rumah kaca sektor tertentu 45 peratus pada 2030
Diterbitkan:  Mar 14, 2023 9:23 PM
Dikemaskini: 1:23 PM

PARLIMEN | Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim akan menetapkan sasaran jumlah pelepasan gas rumah kaca (GHG) yang perlu dikurangkan bagi sektor tenaga, industri pemprosesan dan guna produk, pertanian, guna tanah, pertukaran guna tanah dan perhutanan serta sisa sehingga tahun 2030.

Menterinya Nik Nazmi Nik Ahmad berkata kementerian juga akan mengenal pasti sumber dan kapasiti merangkumi kewangan, teknologi dan keperluan lain bagi mencapai sasaran yang ditetapkan serta turut mengenal pasti kekangan yang dihadapi.

Usaha tersebut seiring dengan komitmen kerajaan untuk mengurangkan intensiti pelepasan GHG sehingga 45 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2030 seperti digariskan di bawah Pelan Hala Tuju Sumbangan Nasional yang Ditentukan (NDC) dan Pelan Tindakan.

Nik Nazmi berkata demikian dalam jawapan lisan bagi menjawab soalan Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (Pas-Kubang Kerian) yang mahu tahu langkah kerajaan mengurangkan pelepasan GHG di dalam negara.

Beliau berkata kerajaan turut dalam proses membangunkan dokumen komunikasi Strategi Rendah Karbon Jangka Masa Panjang (LTLEDS) yang dijangka dikemukakan kepada Konvensyen Rangka Kerja Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu tahun ini.

"LTLEDS akan memberikan konteks perancangan jangka panjang, keutamaan pembangunan, wawasan serta hala tuju pembangunan akan datang, ia termasuk maklumat mengenai bila negara boleh mencapai pelepasan GHG sifar bersih atau net zero, samada pada tahun 2050 atau lebih awal.

"Kedua-dua dokumen ini (NDC dan LTLEDS) dijangka akan dapat dimuktamadkan pada suku keempat 2023," katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS