Ijok: PAS Sgor sokong PKR jika Khalid jadi calon
PAS Selangor akan merundingkan semula sokongannya kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Ijok di Selangor, sekiranya parti itu meletakkan calon selain daripada Tan Sri Khalid Ibrahim.
Khalid yang juga Pengerusi PKR Selangor serta bendahari agung PKR pusat, disebut-sebut akan dipilih sebagai calon parti itu untuk bertanding di Ijok kerana ketokohannya.
Bagaimanapun, sekumpulan ahli dan penyokong India dalam PKR membantah pemilihan Khalid kerana mereka mahu Datuk S Nallakarupan dipilih bertanding di kawasan tersebut.
Difahamkan, mereka akan mengadakan satu perjumpaan dengan Nallakarupan petang ini berhubung perkara tersebut.
Pilihanraya kecil Ijok akan diadakan pada 28 April ini. Manakala hari penamaan calon akan diadakan Khamis depan.
Kerusi Ijok kosong berikutan kematian wakil rakyatnya, Datuk K Sivalingam pada 4 April lalu. Beliau telah mewakili kawasan pilihanraya Ijok selama tiga penggal.
Naib Presiden PAS yang juga Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Hassan Ali berkata, pihaknya telah memutuskan untuk menyokong PKR di Ijok sekiranya Khalid diletakkan bertanding di kawasan tersebut.
Keputusan tersebut, katanya, dibuat dalam mesyuarat PAS Selangor minggu lalu dan telah syarat tersebut telah dimaklumkan kepada PKR pusat.
Khalid lebih layak
"Saya dimaklumkan bahawa PKR pusat kini dalam proses mempertimbangkan syarat PAS Selangor itu," katanya ketika dihubungi malaysiakini hari ini.
Dr Hassan (foto) menjelaskan, PAS mahu Khalid bertanding di Ijok kerana kewibawaanmya, selain merupakan seorang anak tempatan Kuala Selangor.
Menurutnya, pemilihan Khalid lebih sesuai memandangkan komposisi pengundi di kawasan Ijok di mana 51 peratus adalah pengundi Melayu.
Difahamkan, Barisan Nasional (BN) selama ini memperuntukkan kerusi tersebut kepada MIC kerana jumlah pengundi kaum India di kawasan itu adalah yang teramai di Selangor.
Menurut Dr Hassan lagi, Khalid juga pernah mempunyai kedudukan dalam Umno bahagian Kuala Selangor sebelum ini.
Selain itu, katanya, Khalid dikenali kerana kejayaannya di sektor korporat dan sangat disengani oleh penduduk tempatan.
"Jika Khalid bertanding, peluang untuk menang adalah lebih cerah berbanding dengan calon lain," tambahnya.
Sehubungan itu, Dr Hassan berkata, sekiranya Khalid tidak terpilih sebagai calon PKR di Ijok, maka PAS Selangor akan merundingkan semula sokongannya dengan PKR pusat.
Khalid juga merupakan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Guthrie Berhad.
Beliau adalah antara pengasas PNB dan telah memajukan institusi pelaburan bumiputera itu menerusi beberapa skim saham amanah termasuk Amanah Saham Nasional (ASN) dan Amanah Saham Bumiputera (ASB).
Khalid meninggalkan PNB pada Julai 1994 untuk menyertai kumpulan Guthrie.
Beliau mempunyai kelayakan Sarjana Muda Ekonomi (Kepujian) dari Universiti Malaya dan Sarjana Pentadbiran Perniagaan dari Universiti Queensland.