Parti Keadilan Rakyat (PKR) kini dalam dilema untuk memilih calonnya bagi pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Ijok 28 April ini.

Sehingga ini beberapa nama, antaranya, Pengerusi PKR Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim; Naib Presiden, Sivarasa Rasiah, Timbalan Setiausaha Agung, Xavier Jeyakumar; bekas Ketua Angkatan Muda, Ezam Mohd Noor dan Datuk S Nallakarupan, disebut-sebut akan dipilih mewakili parti itu.

Bagaimanapun, perhatian kini tertumpu kepada dua nama utama yang berpotensi besar dipilih bertanding di Ijok Khalid dan Nallakarupan (foto).

PKR Selangor mahu Khalid dipilih mewakili PKR dalam pilihanraya kecil Ijok kerana ia merupakan kawasan majoriti pengundi Melayu.

Selain itu, Khalid juga berasal dari Kuala Selangor. Ijok adalah antara tiga kerusi DUN dalam Parlimen Kuala Selangor.

Bagaimanapun, kata Sumber PKR, memandangkan kawasan tersebut ditandingi oleh MIC, maka sekumpulan ahli dan penyokong India dalam PKR mahu parti itu meletakkan calon keturunan India.

Dan icalon pilihan mereka adalah Nallakarupan, bekas timbalan ketua Pemuda MIC dan kawan rapat Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

PAS 'campurtangan'

Manakala PAS Selangor juga turut 'campurtangan' dengan meletakkan syarat akan menyokong PKR di Ijok jika parti itu meletakkan Khalid bertanding pada 28 April depan.

Jika tidak, Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Hassan Ali berkata, pihaknya terpaksa merundingkan semula sokongan parti itu kepada calon PKR di Ijok.

Selain merupakan anak tempatan Kuala Selangor, Khalid juga pernah menjadi ahli jawatankuasa Umno bahagian tersebut di sekitar tahun 1990-an.

Khalid juga merupakan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Guthrie Berhad.

Beliau adalah antara pengasas PNB dan telah memajukan institusi pelaburan bumiputera itu menerusi beberapa skim saham amanah, termasuk Amanah Saham Nasional (ASN) dan Amanah Saham Bumiputera (ASB).

Khalid meninggalkan PNB pada Julai 1994 untuk menyertai kumpulan Guthrie.

Beliau mempunyai kelayakan Sarjana Muda Ekonomi (Kepujian) dari Universiti Malaya dan Sarjana Pentadbiran Perniagaan dari Universiti Queensland.

Nallakarupan pula mempunyai sokongan besar di kalangan masyarakat India kerana beliau pernah menjadi timbalan ketua Pemuda MIC di sekitar tahun 1990-an.

Beliau juga adalah antara penerima pencalonan terbanyak untuk bertanding jawatan naib presiden dalam kongres nasional PKR Mei ini.

Majlis Kepimpinan Tertinggi (MPT) PKR akan bermesyuarat malam esok bagi memutuskan calon yang akan mewakili parti itu di Ijok.

Kerusi tradisi MIC

Mengikut daftar pemilih terbaru, Ijok mempunyai 12,272 pemilih iaitu 12,233 pengundi awam dan 39 pengundi pos dengan 51.04 peratus pengundi Melayu, India 28.16 peratus dan Cina 20.59 peratus.

Pilihanraya kecil Ijok diadakan berikutan kematian wakil rakyatnya Datuk K Sivalingam di India pada 4 April lalu. Sivalingan merupakan Pengerusi MIC Selangor dan anggota Exco kerajaan negeri.

Barisan Nasional (BN) pula akan meletakkan calon MIC kerana Ijok mempunyai pengundi India teramai di Selangor selain merupakan kerusi tradisi parti itu sejak sekian lama.

Sekumpulan yang membantah pemilihan Khalid itu beranggapan bahawa pucuk pimpinan PKR perlu memberi peluang kepada calon India di kawasan yang ramai pengundi kaum tersebut.

Mereka akan mengadakan pertemuan tertutup dengan Nallakarupan mengenai perkara itu petang ini.