Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Program 'jom ziarah gereja' tertakluk kerajaan negeri - menteri
Diterbitkan:  Mar 18, 2023 8:38 PM
Dikemaskini: 1:02 PM

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Mohd Naím Mokhtar berkata keputusan untuk membenarkan pelaksanaan Program 'Jom Ziarah Gereja' tertakluk kepada bidang kuasa kerajaan negeri.

Mohd Na’im dipetik Bernama berkata dia menghormati sebarang keputusan kerajaan negeri tentang perkara tersebut.

"Sebab perkara ini ada khilaf yang berlaku, ada perbezaan pandangan di situ dan saya menghormati (keputusan) di peringkat negeri.

“Oleh sebab itu, ada negeri yang melarang dan ada yang membenarkan (program Ziarah Gereja),” katanya kepada pemberita pada majlis Townhall Ikon Nasional peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, di ibu negara hari ini.

Semalam, Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) memaklumkan pihaknya perlu dirujuk apabila melibatkan program mengajak umat Islam melawat rumah ibadat bukan Islam di negeri itu.

Bagaimanapun Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) melarang perkara tersebut di negeri berkenaan.

Sebelum ini, Projek Artikel 11" salah satu inisiatif #MalaysiaInklusif oleh Impact Malaysia mencetuskan kontroversi apabila dituduh segelintir pihak sebagai program evangelis Kristian.

Bagaimanapun, Impact Melaysia menjelaskan projek itu bertujuan meningkatkan persefahaman golongan muda dalam aspek kepelbagaian kaum dan agama di negara ini.

Projek Artikel 11 mempunyai dua gerak kerja. Pertama, lawatan menerusi program Jom Ziarah di mana belia akan dapat menziarahi rumah ibadat yang berlainan daripada agama sendiri untuk tujuan melihat persamaan nilai dan perbezaan agama.

Kedua, belia mengikuti aktiviti kesukarelawanan untuk membantu golongan rentan yang dianjurkan oleh pertubuhan kebajikan berasaskan agama, supaya belia dapat memahami bahawa semua agama mempunyai persamaan dari segi nilai murni dan menganjurkan inisiatif bersifat kebajikan.

Setakat ini, program Jom Ziarah telah membawa lapan belia Cina dan India ke Masjid Wilayah di Kuala Lumpur pada 4 Mac serta tiga belia Cina ke Gurdwara Sahib di Shah Alam pada 11 Mac lalu.

Dua program yang dijadual diadakan adalah "Jom Ziarah Gereja" dan "Jom Ziarah Kuil Hindu", masing-masing pada 18 dan 19 Mac ini.

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menafikan tuduhan agensinya menjalankan program berkaitan ‘Kristianisasai’ susulan rancangan "Jom Ziarah Gereja" dan "Jom Ziarah Kuil Hindu.”

Menterinya Hannah Yeoh membalas dakwaan tersebut dengan menggunakan hujah pernah disuarakan pemimpin PAS.

Yeoh berkata Tuan Ibrahim ahli parlimen PAS dan PN - pada 2 Okt 2018 - pernah menyebut, tidak salah orang Islam masuk kuil terima kalungan.

Menjelaskan lebih lanjut Yeoh turut memetik kenyataan dibuat Presiden PAS Abdul Hadi Awang.

Katanya pada 2015 ahli parlimen Marang itu sendiri pernah melawat gereja di Miri, Sarawak.

Ketika itu, Abdul Hadi berkata perbincangan dua hala dan saling bertukar-tukar fikiran amat menarik.

"(Ini) sebahagian daripada usaha mendekatkan percambahan minda antara agama Islam dan Kristian serta mengeratkan hubungan dalam masyarakat majmuk khususnya di Sarawak.

"Islam adalah agama perdamaian dan PAS sebagai sebuah parti yang terbuka, mengambil pendekatan aman sejahtera dan mengamalkan politik matang," kata presiden PAS menjelaskan pertemuannya bersama Augustine, naib pengerusi Majlis Gereja Anglikan St Columba Miri serta Rev Father Alfred dan Bishop Warden Edwin Dundang.

Lihat Komen
ADS