Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kelantan mahu bina 15 pusat pemindahan kekal banjir

DUN Kelantan | Kerajaan negeri bercadang membina 15 pusat pemindahan kekal (PPK) membabitkan setiap jajahan khususnya kawasan yang sering terdedah kejadian banjir di Kelantan.

Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita negeri Mumtaz Md Nawi berkata kerajaan mengenal pasti 15 lokasi di seluruh negeri iaitu 12 kawasan tanah kerajaan dan selebihnya perlu dibuat pengambilan balik tanah.

Menurutnya, lokasi dikenal pasti membabitkan tiga di Pasir Puteh, masing-masing dua di Kota Bharu, Tanah Merah, Kuala Krai, Gua Musang dan masing-masing satu di Tumpat, Pasir Mas, Machang serta Jeli.

"Sementara itu, tiga lokasi yang perlu dibuat pengambilan tanah adalah di jajahan Pasir Puteh iaitu Padang Pak Amat, Cherang Ruku dan Changgai.

Mumtaz Md Nawi

"Kerajaan juga berbincang dengan pihak Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) bagi membina sekurang-kurangnya tiga PPK dahulu iaitu Kompleks Kebajikan Madinah As Salam (Kota Bharu), Kampung Pengkalan Nangka (Tumpat) dan Kampung Kelapa Wangi (Pasir Mas)," katanya ketika menjawab soalan Mohd Rodzi Ja'afar (Gaal - PAS) pada sidang keempat penggal kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan ke-14 di Kota Bharu hari ini.

Sementara itu menjawab soalan tambahan dikemukakan Ramli Mamat (Bunut Payong - PAS) sama ada praktikal dibuna PPK kerana banjir bersifat sementera Mumtaz menegaskan kemudahan itu juga boleh digunakan untuk keperluan bencana lain.

“PPK itu juga akan diguna dalam segala hal yang membabitkan krisis dan bencana, sebaliknya bukan melibatkan banjir semata-mata.

"Kita melihat kadang-kadang pusat pemindahan sementara (PPS) ini menggunakan sekolah dan ia mengganggu sistem persekolahan. Bencana banjir berlaku tidak menentu dan mengikut musim. Jadi PPK perlu untuk kemudahan rakyat," katanya yang juga anggota dewan undangan negeri (Adun Tumpat).


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS