Kecenderungan sesetengah pihak mengunakan khidmat kumpulan gangster dan kongsi gelap sebagai pengawal peribadi untuk menjaga keselamatan mereka adalah antara sebab yang menyukarkan polis Sarawak memerangi kumpulan tersebut.

Pihak-pihak berkenaan menggunakan khidmat kumpulan tersebut walaupun perbuatan itu salah di sisi undang-undang, kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak, SAC II Tun Hisan Tun Hamzah.

Katanya, satu lagi faktor ialah sikap segelintir masyarakat yang masih takut tampil memberi maklumat dan kerjasama.

Tun Hisan berkata, beliau mendapat maklumat tersebut semasa melawat balai polis daerah sejak diarah berpindah ke Sarawak awal bulan ini.

Ekoran itu, kata polis sukar menangkap individu yang disyaki terlibat dalam kegiatan tersebut berikutan kekurangan bukti.

Menurut Bernama, Tun Hisan menyataka demikian di majlis penutupan forum bertemakan "Masyarakat Membanteras Kegiatan Kongsi Gelap" malam tadi.

Beliau mewakili Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Talip Jamal yang tidak dapat hadir di forum tersebut yang dirasmikan oleh Ahli Parlimen Bintulu, Datuk Seri Tiong King Sing.

Kurang bukti

"Kebanyakan mangsa dan saksi tidak berani memberi keterangan dan maklumat. Ini telah menyebabkan polis kekurangan bukti untuk mendakwa mereka di mahkamah dan terlepas daripada hukuman yang lebih berat.

"Kegagalan mendapatkan saksi dan keterangan mangsa yang kurang memuaskan, menyebabkan kes tidak dapat diteruskan atau suspek gagal diheret di mahkamah," katanya.

Ketika menjawab soalan seorang daripada peserta forum itu, Tun Hisan menafikan dakwaan ada sesetengah anggota polis berkerjasama rapat dengan gangster dan kongsi gelap di Sarawak.

"Kita tidak pernah bekerjasama dengan mana-mana gangster. Tiada tangkapan tidak bermakna polis memihak kepada mereka (gangster).

"Kita bertindak atas fakta dan bukan pendapat atau spekulasi kerana kita perlu adil dalam menjalankan tugas," katanya.

Beliau juga memberi jaminan polis akan merahsiakan identiti mangsa dan saksi yang tampil memberikan maklumat dan keterangan bagi membantu siasatan.