Kelantan beri bonus raya RM700, naikkan elaun penghulu
DUN KELANTAN | Kerajaan negeri hari ini mengumumkan pemberian bonus Aidilfitri sebanyak RM700 kepada semua kakitangan awam negeri dan lantikan politik.
Selain itu Menteri Besar Kelantan Ahmad Yakob juga mengumumkan elaun penghulu dinaikkan dari RM1,100 kepada RM1,500.
“Saya ingin umumkan bonus Aidilfitri sebanyak RM700 untuk semua penjawat awam dan juga lantikan politik.
“Pada masa sama, saya mengumumkan kenaikan elaun penghulu daripada RM1,100 kepada RM1,500,” katanya pada sesi sidang dewan undangan negeri (DUN) di Kota Bharu, hari ini.
Sementara itu dalam perkembangan lain Ahmad menjelaskan sebanyak RM21.4 juta bantuan banjir sudah diagihkan kepada mangsa di Kelantan sehingga kini.
Menurutnya jumlah itu membabitkan RM12.3 juta kepada mangsa yang berpindah ke pusat pemindahan pementara (PPS) dan RM9.1 juta bagi mangsa yang tidak berpindah.
Sebanyak RM30,000 lagi pula diberikan kepada waris mangsa yang meninggal dunia akibat banjir.
“Untuk makluman peruntukan RM50 juta yang diumumkan kerajaan persekutuan diberikan kepada pejabat pembangunan negeri Kelantan Jabatan Perdana Menteri dan mesyuarat juga sudah diadakan dengan ketua jajahan bagi mendapatkan senarai mangsa banjir yang berpindah dan tidak berpindah.
“Susulan itu, penyaluran bantuan kepada sebahagian mangsa banjir sudah dibuat membabitkan nilai RM21.4 juta.
“Namun sebahagian lagi mangsa belum diberikan dan akan disalurkan dalam masa terdekat,” katanya ketika menjawab soalan dikemukakan Rodzi Ja’afar (PN-Gaal) yang bertanyakan kaedah penyaluran bantuan RM50 juta kepada mangsa banjir.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2020/11/34d58cb7d4ee0860d0d65e455d1c87fc.jpg)
