Jabatan Alam Sekitar masih belum menerima sebarang laporan penilaian kesan alam sekitar (EIA) untuk aktiviti perlombongan nadir bumi atau Rare Earth Elements (REE) di Kedah.
Perkara itu didedahkan oleh Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad kepada Parlimen dalam jawapan bertulis kepada Taufiq Johari (PH - Sungai Petani).
Taufiq meminta Putrajaya menyatakan sama ada kerajaan Kedah ada mengemukakan laporan EIA untuk aktiviti tersebut atau tidak dan kawasan mana yang akan terlibat.
Soalan itu dikemukakan oleh Taufiq berikutan termeterai memorandum persefahaman antara
Perbadanan Menteri Besar Kedah bersama Jangka Bakat Minerals Sdn Bhd dan Xiamen Tungsten Co Ltd berhubung perlombongan nadir bumi.
Pada Disember lalu, Menteri Besar Muhammad Sanusi Md Nor berkata Kedah memiliki deposit mineral itu yang dianggarkan berjumlah RM62 bilion di seluruh negeri dan sebuah syarikat telah diberi kelulusan untuk melakukan kerja-kerja penerokaan.
Susulan itu, timbul aduan bahawa perlombongan nadir bumi secara haram berlaku di negeri itu khususnya di Hutan Simpan Bukit Enggang di Sik.
