PAS masih terikat dengan keputusannya memboikot pilihanraya sebagai membantah kegagalan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) dalam mengendalikan pilihanraya yang adil dan bebas, kata Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Katanya, sebelum ini, PAS telah memboikot pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Talam (Pahang) dan DUN Machap di Melaka.

Oleh itu, katanya, parti itu perlu berunding dengan rakan komponennya dalam Barisan Alternatif (BA) Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebelum membuat sebarang keputusan sama ada membantu PKR atau meneruskan boikot dalam pilihanraya kecil DUN Ijok 28 April ini.

Perkara ini dinyatakan Abdul Hadi selepas mesyuarat bulanan jawatankuasa PAS pusat di ibupejabat pentadbiran parti itu di Kuala Lumpur semalam.

"Sehingga hari ini, SPR tidak melakukan sebarang perubahan seperti yang dituntut oleh PAS untuk mengendalikan pilihanraya yang bebas dan adil," katanya.

Ini, menurut Abdul Hadi, termasuk kebebasan media dan menghapuskan politik wang sewaktu kempen pilihanraya dijalankan.

Presiden PAS itu berkata, pihaknya mahu mengetahui terlebih dahulu rasional PKR meletakkan calon bertanding di Ijok, sebelum memutuskan sama ada akan turut membantunya atau tidak.

Bercanggah pendirian

Bagaimanapun, katanya, sebarang keputusan mengenainya akan dirunding terlebih dahulu dengan PKR.

Abdul Hadi juga diminta mengulas pengumumkan Ketua Dewan Pemuda PAS pusat (DPPP), Salahuddin Ayub yang juga Ahli Parlimen Kubang Krian bahawa DPPP akan memboikot pilihanraya kecik Ijok.

Bekas Menteri Besar Terengganu itu berkata, hanya PAS pusat yang berkuasa untuk membuat sebarang keputusan mengenainya.

"Mana-mana sayap dalam parti Pemuda ataupu Muslimat boleh mengemukakan cadangan dan pandangan tetapi PAS pusat yang akan memutuskannya," katanya.

Pemerhati politik berkata, kenyataan Abdul Hadi itu menunjukkan wujud percanggahan dalam pendirian kepimpinan tertinggi parti itu dalam soal pilihanraya kecil Ijok.

Selain kenyataan DPPP yang mahu memboikot pilihanraya kecil itu, Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa pula sebelum ini, berkata parti itu akan membantu calon PKR di Ijok.

Manakala Naib Presiden PAS, yang juga Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Hassan Ali pula mengumumkan pihaknya akan hanya membantu PKR di Ijok sekiranya, Bendahari Agung PKR, Tan Sri Khalid Ibrahim dipilih sebagai calonnya.

.