Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia, Khairul Dzaimee Daud, semalam dilantik menjadi Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri.
Perkara itu disahkan Khairul Dzaimee dalam sidang media pada majlis paluan berundur Ketua Pengarah Imigresen semalam dan dia menyifatkan pertukaran itu adalah pusingan kerja yang biasa.
“Bayangan pertukaran telah diberi dalam tempoh sebulan lalu kerana perkhidmatan saya sepanjang empat tahun adalah tempoh lama untuk seorang ketua pengarah di jabatan yang sensitif,” katanya.
Khairul Dzaimee yang menyertai perkhidmatan awam pada Dis 1996 dilantik sebagai Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia pada 14 Jan 2019.
Dia juga pernah memegang jawatan penting di beberapa kementerian, termasuk Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Kawalan) Kementerian Dalam Negeri.
Jawatan Ketua Pengarah Jabatan Imigresen yang baru akan disandang Ruslin Jusoh yang sebelum ini berkhidmat sebagai Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Mengenai tugas sebagai Ketua Pengarah BHEUU, Khairul Dzaimee berkata ia merupakan bahagian yang penting kerana menguruskan beberapa isu perundangan negara termasuk tuntutan Sulu.
- Bernama
