Pendakwa raya dalam perbicaraan kes rasuah Lim Guan Eng membabitkan projek terowong dasar laut Pulau Pinang berkata, peguam kepada bekas ketua menteri Pulau Pinang itu sudah mempunyai salinan perbualan WhatsApp antara 2017 dan 2019 berhubung isu bayaran RM2 juta.

Timbalan pendakwa raya, Ahmad Akram Gharib memberitahu Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur pagi ini bahawa permohonan bekas menteri kewangan itu untuk mendapatkan laporan forensik mengenai mesej berkenaan adalah remeh.

Ketika prosiding di hadapan hakim perbicaraan Azura Alwi, Akram menegaskan bahawa pasukan pembelaan telah beberapa kali merujuk kepada salinan perbualan WhatsApp antara pengarah eksekutif kanan Konsortium Zenith Construction Sdn Bhd, Zarul Ahmad Mohd Zulkifli dan ahli perniagaan G Gnanaraja.

“Sebarang pertanyaan mengenai perbualan WhatsApp itu boleh dibuat terhadap kedua-duanya (saksi pendakwaan Zarul dan Gnanaraja).

“Tidak perlu atau tiada keperluan bagi pihak pembelaan untuk memintanya (laporan forensik dan aduan yang dibuat oleh Zarul terhadap Gnanaraja untuk kes berasingan di Mahkamah Sesyen Shah Alam) untuk menyoal balas (Zarul dan Gnanaraja adalah antara beberapa saksi pendakwaan).

"Mereka sudah memilikinya, mereka tidak menafikan, jadi ini menjadikan permohonan itu remeh dan menyalahgunakan proses mahkamah," kata Akram sambil diperhatikan oleh Lim dari kandang tertuduh.

Pendakwa raya itu juga menggesa pasukan pembelaan untuk tidak melakukan serangan peribadi terhadap anggota pasukan pendakwaan, sambil menambah mereka hanya menjalankan tugas dan tidak mempunyai kepentingan lain.

Awal pagi tadi semasa hujah lisan dalam permohonan mendapatkan laporan forensik berkenaaan serta laporan Zarul yang dibuat kepada pihak berkuasa terhadap Gnanaraja, Gobind mengulangi dakwaan pihak pembelaan bahawa pihak pendakwaan menyembunyikan bukti.

Peguam mendakwa ini adalah punca pendakwaan enggan menyerahkan laporan forensik dan Laporan Maklumat Pertama (FIR) Zarul.

Gobind berhujah bahawa pasukan pendakwaan sedia maklum mengenai kes "tetap" terhadap Lim, memandangkan Zarul dan saksi lain memberi keterangan di Mahkamah Sesyen Shah Alam bahawa RM2 juta itu adalah untuk orang lain dan bukan untuk Lim.

Kes di Mahkamah Sesyen Shah Alam terhadap Gnanaraja adalah atas pertuduhan menipu Zarul berhubung projek terowong itu.

Bagaimanapun, pada Disember 2020, Gnanaraja mengaku bersalah atas pertuduhan alternatif mengikut Seksyen 218(1)(A) Akta Syarikat 2016 dan didenda RM230,000. Kertas siasatan kes menipu itu diklasifikasikan sebagai Tiada Tindakan Lanjut (NFA).

Zarul dan Gnanaraja kini menjadi saksi pendakwaan terhadap Lim dalam perbicaraan rasuah terowong bawah laut.

Pasukan pembelaan berhujah ia memerlukan laporan forensik untuk mengukuhkan pembelaan Lim terhadap kes rasuah terowong bawah laut itu dan menunjukkan bahawa Zarul dan Gnanaraja berbohong dalam keterangan mereka sekarang terhadap Lim.

Sementara itu semasa prosiding di hadapan Azura hari ini, Gobind berhujah bahawa bertentangan dengan penegasan pihak pendakwaan, pasukan pembelaan hanya mempunyai sebahagian daripada perbualan WhatsApp.

[Baca berita penuh]