Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Menteri: Lebih 4,700 kes kesalahan seksual terhadap kanak-kanak selesai

Sebanyak 4,713 kes di bawah Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792) telah diselesaikan sejak 2018 hingga Januari lepas.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Parlimen) Azalina Othman Said berkata dalam tempoh itu sebanyak 5,519 kes telah dilaporkan dan 3,060 kes telah dituduh dalam mahkamah.

Justeru, dia berkata penggubalan Akta 792 adalah langkah yang baik dalam membantu polis menjalankan siasatan dan pihak pendakwaan dalam merangka pertuduhan yang khusus di bawah Akta tersebut berbanding undang-undang jenayah am yang terpakai kepada orang dewasa seperti Kanun Keseksaan.

"Ini kerana, sering kali kes kesalahan-kesalahan seksual yang melibatkan mangsa kanak-kanak ini akan mempunyai ciri-ciri kes yang unik, yang tiada di dalam kes-kes melibatkan orang dewasa. Oleh yang demikian, peruntukan di dalam Akta 792 dapat memberikan perlindungan yang lebih jitu dan menyeluruh kepada kanak-kanak," katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Azalina menjawab soalan Young Syefura Othman (PH-Bentong) mengenai jumlah kes kesalahan seksual terhadap kanak-kanak yang telah dilaporkan, didakwa dan diselesaikan sejak Akta 792 dikuatkuasakan.

Katanya lagi, kerajaan sedang dalam proses membuat beberapa pindaan kepada Akta 792 bagi menambah baik peruntukan sedia ada.

Selain itu, dia berkata kerajaan juga akan meminda Akta Keterangan Saksi Kanak-Kanak 2007 (Akta 676) bagi memperuntukkan mengenai pendengaran khas sebagai suatu lagi mekanisma iaitu keterangan saksi kanak-kanak boleh diambil dalam bentuk rakaman video supaya kanak-kanak tidak perlu menghadiri perbicaraan.

Katanya, pindaan ini juga akan memperuntukkan pemberian kuasa kepada mahkamah untuk melarang soalan-soalan tidak wajar diajukan kepada kanak-kanak bagi memastikan seseorang saksi kanak-kanak itu dapat memberikan keterangan dengan lebih tenang, lancar dan selesa.

"Semua langkah yang diambil dalam proses sistem keadilan jenayah bagi sesuatu kes jenayah seksual terhadap kanak-kanak hendaklah mesra kanak-kanak," katanya.

-Bernama

Lihat Komen
ADS