mk-logo
Berita
Rohana sudah pulangkan dana AS$10 juta berkaitan 1MDB - laporan
Diterbitkan:  Mar 24, 2023 10:09 AM
Dikemaskini: 4:35 AM

Rohana Rozhan, bekas teman wanita pegawai bank Goldman Sachs Tim Leissner, telah memulangkan wang tunai dan aset berkaitan 1MDB AS$10 juta (RM44.3 juta) kepada SPRM.

Demikian menurut laporan Utusan Malaysia, yang memetik sumber yang biasa dengan kes itu.

Menurut sumber berkenaan, bekas ketua pegawai eksekutif kumpulan Astro Malaysia Holdings Bhd itu menyerahkan wang tunai dan aset kepada kerajaan Malaysia tahun lepas, selepas SPRM menyelesaikan siasatan kes itu.

“Beliau (Rohana) sudah pulangkan semua wang dan aset yang berkenaan kepada SPRM yang kemudian di­salurkan kepada kerajaan," kata sumber seperti dipetik oleh portal berita itu.

AGC tak tahu

“Pihak SPRM sudah selesai dan setakat ini tidak ada apa-apa lagi yang diperlukan berhubung dana 1MDB daripada Rohana,” kata sumber lagi.

Bagaimanapun, sumber itu tidak dapat memberikan butiran terperinci tentang pulangan dana dan aset, serta prosedur yang terlibat.

Semalam, Menteri Undang-undang dan Reformasi Institusi, Azalina Othman dalam jawapan bertulis parlimen berkata Jabatan peguam negara tidak mengetahui sekiranya bekas pegawai eksekutif Astro, Rohana Rozhan telah memulangkan wang AS$10 juta yang dikaitkan dengan 1MDB.

Azalina menjawab soalan Lim Lip Eng (PH - Kepong) yang bertanya kepada perdana menteri apakah Rohana telah memulangkan wang tunai berjumlah AS$10 juta itu.

Februari tahun lalu, Leissner memberitahu mahkamah AS bahawa dia mempunyai hubungan sulit dengan tiga wanita Malaysia, termasuk Rohana.

Pada satu ketika, Leissner membelanjakan AS$10 juta untuk membeli sebuah rumah di London untuk Rohana selepas wanita itu kecewa kerana dia memutuskan hubungan mereka selama 10 tahun untuk berkahwin dengan model AS Kimora Lee Simmons pada 2013.

Dalam keterangannya Leissner berkata dia membeli rumah itu kerana Rohana mengancam untuk mendedahkan penglibatannya dalam 1MDB.

Susulan itu media tempatan melaporkan Rohana bersetuju memulangkan aset AS$10 juta itu, tetapi tiada pengesahan rasmi daripada SPRM, yang pada masa itu telah pun menemu bualnya.

Pada Mac tahun lepas, Ketua Pesuruhjaya Sruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Azam Baki berkata Rohana disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (Amla) dan harta Rohana di London serta aset lain dibekukan.

Pada 13 Mac lalu, parlimen diberitahu baki hutang 1MDB ialah sebanyak RM9.7 bilion manakala RM41.6 bilion aset 1MDB telah diperoleh semula.

Lihat Komen
ADS