Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bekas CEO Astro akan pulangkan aset AS$10 juta dari Leissner
Diterbitkan:  Apr 13, 2022 12:37 PM
Dikemaskini: 4:40 AM

Bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) Astro Rohana Rozhan dilaporkan telah bersetuju untuk memulangkan AS$10 juta aset yang diperolehnya daripada bekas jurubank Goldman Sachs, Tim Leissner.

Utusan Malaysia memetik sumber yang rapat dengan suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), yang memberitahu bahawa SPRM kini giat memperoleh dana itu selepas Rohana bersetuju untuk menyerahkan aset daripada Leissner yang diperoleh menggunakan dana 1MDB.

“Proses mendapatkan aset-aset berkenaan sedang giat dijalankan SPRM ketika ini,” kata sumber itu semalam.

Leissner adalah saksi utama pendakwaan dalam perbicaraan 1MDB bekas jurubank Malaysia Roger Ng - yang kini telah disabitkan dengan tuduhan rasuah berkaitan peranannya dalam membantu menyeleweng ratusan juta dolar daripada dana 1MDB.

Leissner sebelum ini mendakwa telah memberikan Rohana AS$10 juta - yang digunakan bekas CEO Astro itu untuk memperoleh hartanah AS$7 juta di Montpelier Street, London.

Leissner, yang merupakan bekas ketua operasi Goldman Sachs di Asia Tenggara, mendakwa dia mempunyai hubungan selama sedekad dengan Rohana.

Leissner juga mendedahkan dia pernah berdepan ugutan daripada bekas kekasihnya itu untuk mendedahkan peranannya dalam skandal 1MDB jika gagal memberi kerjasama.

“Jika saya tidak membelikannya rumah, dia akan memberitahu pihak berkuasa tentang penglibatan saya dalam skandal 1MDB. Dia mengancam untuk mendedahkan saya. Pada masa itu, 2013, saya sangat takut akan perkara itu,” katanya memberi keterangan.

Dakwaan ini telah mendorong siasatan SPRM terhadap Rohana - yang telah berikrar untuk memberikan kerjasama penuh kepada SPRM.

Kes itu dipercayai disiasat mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA).

Lihat Komen
ADS