Krisis calon MIC di Ijok perkara kecil, kata Umno
Krisis calon MIC dalam pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Ijok tidak menjejaskan peluang Barisan Nasional (BN) untuk mengekalkan kerusi tersebut pada 28 April ini, kata Umno Kuala Selangor.
Krisis calon MIC dalam pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Ijok tidak menjejaskan peluang Barisan Nasional (BN) untuk mengekalkan kerusi tersebut pada 28 April ini, kata Umno Kuala Selangor.
Ketua bahagiannya, Datuk Amerudin Setro berkata, apa yang berlaku dalam MIC adalah perkara kecil dan tidak memberi kesan kepada parti itu dan BN keseluruhannya.
Katanya, ia hanya membabitkan segelintir ahli parti itu yang tidak puas hati dengan pucuk pimpinan mereka.
"Saya yakin pengundi kaum India akan terus menyokong calon BN dalam pilihanraya kecil Ijok ini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan Ketua MIC bahagian Kuala Selangor, S P Thirumoorthy, 55, yang mengancam meletakkan jawatannya jika tidak dipilih sebagai calon BN di Ijok.
Beliau yang juga seorang guru sekolah menengah mendakwa, 18 ketua cawangan daripada 36 cawangan parti MIC di kawasan pilihanraya kecil Ijok itu akan turut meletakkan jawatan bersamanya.
Thirumoorthy yang menjadi ketua bahagian itu sejak 1994, berkata beliau difahamkan calon BN bukan dari kalangan ahli bahagian MIC Kuala Selangor. BN akan mengumumkan calon hari ini.
Amerudin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jeram, berkata, pengundi akan tetap memilih calon BN tidak kira siapa yang terpilih menjadi calon.
Jentera p'raya Umno
"Saya tidak anggap apa yang berlaku yang membabitkan Thirumoorthy itu boleh menjejaskan peluang BN untuk menang," katanya.
Sementara itu, Ameruddin berkata, jentera pilihanraya Umno telah digerakkan sebaik sahaja kematian wakil rakyat Ijok, Datuk K Sivalinggam pada 4 April lalu.
Umno, katanya, akan bekerja kuat bagi memastikan ahli dan orang Melayu mengundi calon BN dalam pilihanraya kecil itu.
Ditanya mengenai desakan Umno bahagian itu sebelum ini supaya BN Selangor meletakkan calon dari Umno kerana majoriti pengundi di situ adalah orang Melayu, Amerudin berkata, pihaknya menerima keputusan pucuk pimpinan BN untuk terus meletakkan calon MIC di Ijok.
Sebelum ini, Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu ketika diminta mengulas tindakan Thirumoorthy itu, berkata beliau tidak akan melayan tuntutannya.
Bercakap dalam satu sidang akhbar di Batang Berjuntai semalam, Samy Vellu dilaporkan berkata: "Ia adalah hak Presiden MIC untuk memutuskan calon. Pengerusi BN (Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi) telah meluluskan nama calon. Saya juga memaklumkan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo".
Thirumoorthy mendakwa semua usaha kerasnya berkempen untuk calon-calon MIC, kebanyakannya orang dari luar Ijok atau luar Kuala Selangor, sejak beberapa pilihanraya lalu, tidak dihargai oleh pucuk pemimpin parti itu.

