Beberapa pemimpin Pemuda Bersatu hari ini memfailkan laporan polis terhadap pengerusi kebangsaan DAP Lim Guan Eng dan Perdana Menteri Anwar Ibrahim kerana didakwa mengelirukan Dewan Rakyat.

"Pihak kami membuat laporan polis berhubung fitnah Guan Eng ke atas Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin berkenaan isu pelepasan cukai Yayasan Albukhary," kata Ketua Pemuda Bersatu Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal.

Dia ditemui selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, di Kuala Lumpur, hari ini.

Menurutnya, penjelasan Anwar bahawa  kuasa pengecualian cukai berada di bawah hak mutlak ketua pengarah Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), dan bukannya menteri atau perdana menteri mengikut subseksyen 44(6) Cukai Pendapatan Akta 1967 adalah mengelirukan.

Sebaliknya, Wan Ahmad Fayshal mendakwa bahawa Anwar gagal menyebut subseksyen 44(6) yang membolehkan Lim, yang ketika itu menteri kewangan, merayu sebarang keputusan yang dibuat oleh ketua pengarah LHDN.

Hadir sama Exco Pemuda Bersatu, Harris Idaham Rashid dan Ahli Parlimen Mersing, Muhammad Islahuddin Abas.

Bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin sebelum ini menuduh Lim membatalkan status pengecualian cukai yang diberikan kepada Yayasan Albukhary ketika dia menjadi menteri kewangan selepas gabungan kerajaan Pakatan Harapan (PH) ditubuhkan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Muhyiddin membuat dakwaan selepas bekas perdana menteri itu diarahkan hadir ke ibu pejabat SPRM untuk merakamkan kenyataannya dan antara isu yang dibangkitkan agensi anti rasuah itu ialah rayuan terhadap pembatalan pengecualian cukai kepada Yayasan Albukhary.

Bagaimanapun pada 10 Mac lalu, Lim yang juga ahli Parlimen Bagan menafikan tuduhan tersebut dan membuat laporan polis terhadap Muhyiddin pada pada 22 Mac.

Mengulas lanjut, Wan Ahmad Fayhsal mendakwa Anwar dan Lim menggunakan keterangan yang diketahui sebagai palsu dan perbuatan itu salah di bawah Seksyen 196 Kanun Keseksaan.

Selain itu Wan Ahmad Fayhsal berkata, kementerian kewangan mengeluarkan kenyataan akhbar yang lebih mengelirukan menyatakan bahawa permohonan rayuan Muhyiddin berhubung pengecualian cukai Yayasan Albukhary tidak dibatalkan atau ditolak oleh Lim atau mana-mana pegawai kementerian atau juga pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Dakwanya, kenyataan yang dikeluarkan oleh kementerian kewangan itu adalah tidak munasabah.

Sehubungan itu, katanya, tiada sebab untuk presiden Bersatu untuk membuat rayuan.

"Ini juga mengeruhkan lagi situasi dan menyebabkan Presiden Bersatu didakwa dan dikenakan pertuduhan salah guna kuasa atas isu cukai," katanya.

[Baca berita penuh]