Seorang wanita cedera ditumbuk dan ditendang oleh suaminya yang cemburu kerana isterinya terlalu asyik menghantar SMS dengan rakan sekerja, di Kampung Tok Ku, Chabang Tiga di Kuala Terengganu Sabtu lalu.

Wanita yang berumur 28 tahun dan bekerja di sebuah pasaraya di bandar tersebut dikatakan sedang berSMS apabila suaminya tiba-tiba naik angin dan memarahinya, kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, ACP Mohd Hazam Abdul Halim.

"Si suami yang juga berumur 28 tahun dikatakan cemburu, lalu memarahi isterinya sehingga mencetuskan pertengkaran.

"Si suami ini telah bertindak menumbuk dan menendang si isteri beberapa kali dan mengugut untuk mencederakannya dengan sebilah pisau pemotong daging," katanya kepada pemberita hari ini.

Menurut laporan Bernama, Mohd Hazam berkata, kejadian itu menyebabkan wanita itu mengalami kecederaan lebam di bahagian mata sebelah kanan, sakit di bahagian belakang serta mengalami pendarahan di hidung.

Wanita itu membuat laporan di Balai Polis Chabang Tiga pada jam 10 malam hari kejadian. Dia juga memfailkan kes di Mahkamah Syariah.

Polis sedang mengesan lelaki berkenaan yang dilaporkan menghilangkan diri selepas kejadian itu.

Februari lalu, wanita itu membuat laporan polis setelah ditendang dan dibelasah oleh suaminya kerana menerima panggilan telefon daripada seorang rakan.