Seorang lelaki warga emas yang didakwa dipukul pegawai Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MBSJ) ketika operasi menangkap anjing liar, kini disiasat atas kesalahan menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

Rakaman insiden tersebut, yang berlaku di Taman Kanagapuram di Petaling Jaya, tular di media sosial baru-baru ini.

Dalam kenyataan malam tadi, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Fakhrudin Hamid berkata semasa operasi penangkapan anjing liar ekoran aduam awam, lelaki itu memasukkan anjing-anjing ke dalam premisnya dan menutup pintu premis tersebut.

"Pasukan operasi gagal melaksanakan tugas penangkapan anjing liar kerana dihalang oleh lelaki itu.

"Terjadi pergelutan antara pasukan penangkapan anjing dengan lelaki tersebut sehingga menyebabkan dia terkena batang rod menangkap anjing," kata Fakhrudin.

Dia berkata kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dan Seksyen 186 kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

Semalam, Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung menggesa MBPJ memberikan penjelasan berhubung tindakan pegawainya dalam kejadian itu.

Menurut Lee, pihaknya juga telah mengeluarkan surat rasmi kepada Unit Integriti MBPJ untuk tindakan mereka berhubung kes tersebut, selain meminta penjelasan mengenai Prosedur Operasi Standard (SOP) yang diguna pakai MBPJ semasa menjalankan operasi menangkap anjing.

Sementara itu Exco Kerajaan Tempatan Dan Pengangkutan Awam Selangor, Ng Sze Han berkata pihaknya telah meminta Datuk Bandar untuk menjalankan siasatan.