Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mangsa banjir di Batu Pahat kekal 141 setakat 8 pagi

Jumlah mangsa banjir di Johor yang membabitkan hanya daerah Batu Pahat kekal 141 orang daripada 37 keluarga setakat 8 pagi ini, sama seperti yang direkodkan malam tadi.

Menurut jawatankuasa pengurusan bencana negeri (JPBN), hanya dua pusat pemindahan sementara (PPS) masih dibuka dengan seramai 79 orang daripada 22 keluarga ditempatkan di PPS Dewan Orang Ramai Yong Peng manakala 62 orang daripada 15 keluarga di PPS Sekolah Kebangsaan Seri Medan.

"Antara kawasan yang masih terjejas banjir di Yong Peng ialah Kampung Parit Lapis Bangas, Kampung Jalan Lama, Taman Melur, Kampung Parit Amil, Taman Desa Suria dan Taman Berlian.

"Di Sri Medan pula melibatkan Parit Yusof, Parit Haji Ahmad, Parit Warijo, Parit Bangas, Parit Sendayun dan Parit Seri Pasir," menurut JPBN dalam kenyataannya hari ini.

JPBN turut memaklumkan Sungai Bekok di Empangan Bekok masih berada di paras amaran dengan bacaan 18.93 meter (m) manakala Sungai Sembrong di Empangan Sembrong berada di paras waspada dengan bacaan 10.67m.

Cuaca di kesemua 10 daerah di Johor dilaporkan cerah pada pagi ini.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS