Menteri Pengangkutan Anthony Loke hari ini menjelaskan pengkritik kerajaan tidak seharusnya keliru antara syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dengan badan pengawal selia.

Bercakap pada sidang media pagi ini, Setiausaha Agung DAP itu berkata kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim telah mengotakan janjinya untuk tidak melantik ahli politik ke dalam GLC dan syarikat-syarikat utama yang tersenarai di Bursa Malaysia.

Bagaimanapun, Loke berkata terdapat kelonggaran yang diberikan apabila ia melibatkan badan berkanun dan kawal selia.

“Kita beri sedikit fleksibiliti pada badan berkanun, umpamanya Felcra dan juga lembaga-lembaga pelabuhan. Itu memang selama ni ada pelantikan ahli politik.

“Kita sudah tentu akan beri fleksibiliti ini kepada perdana menteri untuk mempertimbangkan pelantikan-pelantikan supaya pemimpin parti pelbagai peringkat juga boleh membantu memainkan peranan.

“Tapi one clear distinction (perbezaan yang jelas) ialah syarikat-syarikat GLC utama, sebab sekarang ini nampaknya ramai orang dah macam campur adukkan apa tu GLC,” katanya.

Loke berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Konvensyen DAP Selangor 2023 di Klang pagi ini.

Pada sidang media itu juga Loke ditanya mengenai kritikan yang dilemparkan terhadap kerajaan pusat baru-baru ini berhubung beberapa pelantikan politik yang dilakukan di beberapa agensi.

Ia termasuk pelantikan Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki sebagai pengerusi Mara, dan spekulasi pelantikan Abdullah Sani Abdul Hamid serta Mohd Sany Hamzan masing-masing sebagai pengerusi dan timbalan pengerusi Tekun Nasional.

Abdullah Sani merupakan bekas ahli parlimen PKR, manakala Mohd Sany ahli parlimen Hulu Langat.

Sebuah portal berita turut melaporkan Ketua Wanita Umno yang juga Ahli Parlimen Parit Sulong Noraini Ahmad dilantik sebagai pengerusi Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda).

Menurut Loke, kerajaan tidak akan memungkiri janjinya berhubung pelantikan ahli politik dalam syarikat-syarikat kerajaan.

Dia menegaskan mengikut pentadbiran kerajaan sedia ada, tidak ada ahli politik yang dilantik untuk memegang jawatan dalam GLC utama seperti Telekom, Tenaga Nasional Berhad, Malaysia Airports Holdings Berhad, dan Prasarana.

“Itu saya yakin akan terus dikekalkan dasar tersebut oleh YAB PM,” katanya.

Loke menambah bahawa pelantikan baru-baru ini "bukan kepada syarikat,” tetapi melibatkan badan berkanun dan agensi pihak berkuasa.

“Ia bukan terlibat dalam perniagaan dan sebagainya. Jadi ada perbezaan di sana,” katanya.

[Baca berita asal]