SPR: Elak insiden pergaduhan di Machap berulang di Ijok
Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) berharap insiden pergaduhan antara penyokong MIC dan DAP semasa penamaan calon pilihanraya kecil Dewan Undangan Nengeri (DUN) Machap baru-baru ini, tidak berulang di Ijok Khamis ini.
Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) berharap insiden pergaduhan antara penyokong MIC dan DAP semasa penamaan calon pilihanraya kecil Dewan Undangan Nengeri (DUN) Machap baru-baru ini, tidak berulang di Ijok Khamis ini.
Dalam pergaduhan tersebut, dua anggota DAP dari Negeri Sembilan membuat laporan polis, mendakwa mereka diserang oleh sekumpulan anggota MIC semasa sedang beredar dari pusat penamaan calon bagi pilihanraya kecil DUN Machap pada 3 April lalu.
Sehubungan itu Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman menasihatkan semua pihak, terutama parti politik yang terlibat dalam pilihanraya kecil Ijok supaya tidak menimbulkan sebarang kekacauan bagi memastikan proses pengundian berjalan lancar.
"Ini hanyalah acara yang kecil, jadi buat secara aman dan tak usah buka mulut luas sangat. Maki hamun orang. Haritu berlaku di Machap sebab mulut luas, sebab tak kawal diri," katanya dalam laporan Bernama.
"Maki hamun orang buat apa? Ini kerja samseng. Bila kita samseng orang lain pun boleh buat samseng juga. Kemudian bila benda tu berlaku komplen kat saya, saya nak buat macam mana?
"You nak lawan you lawan la tapi jangan balik semula kepada kami. Kami nasihatkan anda semua jangan buat hal," katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan Gerakan Perdana Pendaftaran Pemilih di Kuala Lumpur semalam.
Kerjasama polis
Abdul Rashid berkata langkah sewajarnya telah diambil bagi mengelak kejadian itu berulang di Ijok seperti bekerjasama dengan pihak polis bagi memastikan proses penamaan calon pada 19 April dan pengundian kelak berjalan lancar.
"Kami akan memberi perhatian kepada soal keselamatan dan menjaga keseluruhan sistem, keseluruhan proses.. jangan bimbang. Saya tak fikir masalah parti akan melarat kepada perjalanan pilihanraya itu sendiri.
"Mereka orang yang bijak, kita akan pastikan tidak berlaku apa-apa di Ijok," katanya.
Semalam, Pengerusi Barisan Nasional Selangor, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo ini mengumumkan pemilihan bekas pegawai ko-akademik Pejabat Pelajaran Daerah Kuala Selangor, K Parthiban, 38, sebagai calon BN bagi pilihanraya kecil Ijok pada 28 April ini.
Pilihanraya kecil tersebut diadakan berikutan kematian penyandang kerusi tersebut, Datuk K.Sivalingam, 59, di Chennai, India, akibat serangan jantung pada 4 April lalu.

