Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tak semesti saya kena ikut kehendak Jomo, kata Mahathir

Bekas Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad mengakui dia menolak nasihat yang diberikan oleh pakar ekonomi, Jomo Kwame Sundaram supaya dirinya tidak terbabit dalam politik dan menjadi negarawan.

“Itu Jomo punya pendapat. Tidak semesti saya kena ikut kehendak dia,” katanya pada sidang akhbar di Putrajaya, hari ini.

Jomo pada satu forum dalam talian bertajuk “Malaysia’s future in a fractured world” anjuran The Oxford and Cambridge Society Malaysia di YouTube malam tadi berkata, dia pernah menasihatkan Dr Mahathir supaya mengambil peranan sebagai seorang negarawan yang ulung.

Katanya, dalam pertemuan mereka kira-kira lapan bulan lalu,  dia juga , meminta bekas perdana menteri itu meninggalkan politik.

Jomo Kwame Sundaram

Namun, kata bekas anggota Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) itu, seperti lazimnya, Mahathir menolak nasihatnya.

Mengulas lanjut, Mahathir berkata, dia akan tetap meneruskan aktiviti politiknya seperti biasa demi negara.

“Demi negara, jika orang datang minta tolong, kita kena lah tolong. Tak kan saya nak cakap tidak boleh tolong sebab nak rehat. 

“Jika ada yang minta pendapat, saya sedia beri pendapat,” katanya.

Dr Mahathir Mohamad

Pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15), Mahathir mengalami kekalahan teruk di kerusi parlimen Langkawi. Dia hanya menduduki tempat keempat dalam pertembungan lima penjuru.

Pada 16 Dis tahun lalu, ahli politik berusia 98 tahun itu meletakkan jawatan sebagai pengerusi Pejuang.

Pejuang kemudian menamatkan kerjasamanya dengan Gerakan Tanah Air (GTA) pada 14 Jan. Gabungan parti-parti Melayu itu ditubuhkan oleh Mahathir pada Ogos tahun lalu.

Berikutan itu, berlaku perpecahan dalam Pejuang apabila Mahathir - yang merupakan pengerusinya - tidak dapat bertentang mata dengan anaknya Mukhriz, presiden parti berkenaan.

Mahathir kemudian meninggalkan Pejuang dan menyertai Putra.

Pada 19 Mac, dia mengecam Anwar Ibrahim sebagai pemimpin zalim selepas rancangannya untuk mengadakan perhimpunan pro-Melayu gagal menjadi kenyataan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS