Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
‘Dr M sepatutnya jadi negarawan ulung, jauhi diri dari politik'

Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad sepatutnya mengambil peranan sebagai seorang negarawan yang ulung, kata ahli ekonomi terkemuka Jomo Kwame Sundaram.

Dalam pertemuan mereka kira-kira lapan bulan lalu, Jomo berkata dia menawarkan nasihat itu kepada Mahathir, meminta bekas perdana menteri itu meninggalkan politik.

“Saya menggesa Mahathir untuk mengambil peranan sebagai negarawan ulung untuk membantu membangunkan negara.

"Sudah tentu, seperti lazimnya, dia tolak nasihat saya dan kita tahu akibatnya," katanya.

Jomo berkata demikian pada forum dalam talian bertajuk “Malaysia’s future in a fractured world” anjuran The Oxford and Cambridge Society Malaysia di YouTube malam tadi.

Jomo Kwame Sundaram

Pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15), Mahathir mengalami kekalahan teruk di kerusi parlimen Langkawi. Dia hanya menduduki tempat keempat dalam pertembungan lima penjuru.

Pada 16 Dis tahun lalu, ahli politik berusia 98 tahun itu meletakkan jawatan sebagai pengerusi Pejuang.

Pejuang kemudian menamatkan kerjasamanya dengan Gerakan Tanah Air (GTA) pada 14 Jan. Gabungan parti-parti Melayu itu ditubuhkan oleh Mahathir pada Ogos tahun lalu.

Berikutan itu, berlaku perpecahan dalam Pejuang apabila Mahathir - yang merupakan pengerusinya - tidak dapat bertentang mata dengan anaknya Mukhriz, presiden parti berkenaan.

Mahathir kemudian meninggalkan Pejuang dan menyertai Putra.

Pada 19 Mac, dia mengecam Anwar Ibrahim sebagai pemimpin zalim selepas rancangannya untuk mengadakan perhimpunan pro-Melayu gagal menjadi kenyataan.

Lihat Komen
ADS