Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hak wakil rakyat jatuhkan Anwar, kata Dr Mahathir

Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad berkata adalah menjadi hak sekiranya ahli-ahli Parlimen kerajaan mahu menjatuhkan kerajaan Perdana Menteri Anwar Ibrahim seperti yang pernah berlaku kepada Muhyiddin Yassin, sekiranya dia tidak mentadbir  dengan baik.

Dr Mahathir Mohamad (kiri)

“Saya berpendapat kalau satu kerajaan itu tidak mentadbir dengan baik, ahli partinya sepatutnya jatuhkan kerajaan itu dan pilih yang lain.

“(Ini)  seperti mana yang berlaku di waktu Muhyiddin Yassin jadi perdana menteri,” katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.

Mahathir berkata demikian  ketika diminta mengulas sama ada kerajaan campuran Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) mampu bertahan sehingga habis penggal atau tidak. 

Ismail Sabri (kiri) bersama Muhyiddin

“Pada masa itu, Umno tidak puas hati. Umno tarik sokongan dan Muhyiddin jatuh dan digantikan dengan orang Umno.

“Jadi, hak bagi wakil rakyat memang ada untuk menukar kerajaan dan ini tidak melanggar undang-undang,” katanya.

Kerajaan Muhyiddin tumbang selepas dia kehilangan sokongan majoriti ahli parlimen pada Ogos 2021 dan dia digantikan oleh Ismail Sabri Yaakob.

Pada sidang media yang sama, Mahathir berkata, kerajaan pimpinan Anwar dilihat hanya banyak bercakap dan menabur janji tetapi tidak melaksanakan apa yang dikatakan.

Anwar (kiri) bersama Mahathir

Sebagai contoh, katanya, keadaan ekonomi dan kos sara hidup rakyat juga masih teruk.

"Keadaan politik pun tak stabil. Setiap hari sebut benda yang dia nak buat tapi tak nampak apa pun," katanya.

Mengulas lanjut, Mahathir juga meluahkan rasa kurang yakinnya terhadap kerajaan untuk membela nasib orang Melayu khususnya mereka yang terperangkap dalam kemiskinan. 

“Saya tak yakin sama sekali, kerana dia (kerajaan hari ini) berpendapat bahawa dia tidak ada masalah khusus untuk orang Melayu sahaja.

“Semua masalah bersama sebagai sebuah negara berbilang kaum,” katanya.

Mahathir Mohamad

Bagaimanapun, Mahathir berkata sebuah negara berbilang kaum ini bukanlah yang terdapat dalam Perlembagan negara.

“Perlembagan kita menyebut bahawa tanah Melayu ini adalah milik orang Melayu dan Melayu ini adalah orang asli kepada negara ini tetapi sekarang ini orang Melayu tak boleh dakwa negara ini milik orang Melayu

“Sebaliknya ia negara semua kaum dan sesiapa yang bercakap berkenaan orang Melayu itu merupakan satu hasutan dan anti-kaum,” tambahnya.

Lihat Komen
ADS