Polis sedang menyiasat perbuatan kumpulan tertentu yang bertopeng ajaran agama dengan menyebarkan dakyah mencerca agama lain hingga boleh menimbulkan suasana tegang dan mengugat keharmonian negara, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Musa.

"Kumpulan ini bertopengkan ajaran agama Hindu dan Kristian serta didapati telah ramai pengikut mereka yang merasai tertipu di atas kegiatan kumpulan-kumpulan ini," kata Musa dalam kenyataan hari ini.

Setakat ini, katanya, 131 laporan polis telah dibuat oleh pengikut kumpulan tersebut yang tidak berpuas hati kerana kegiatan mencerca agama lain selain mengugut pengikut-pengikut mereka.

Musa berkata, Polis Selangor sedang menjalankan siasatan berkaitan laporan yang dibuat oleh pengikut kumpulan-kumpulan berkenaan, demikian menurut laporan Bernama.

Sehubungan itu, beliau memberi amaran supaya pihak-pihak tidak bertanggungjawab jangan cuba memperalatkan sentimen agama, Musa berkata polis telah menjalankan siasatan di bawah Seksyen 298A dan seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Seksyen 298A antara lain menyebut mengenai perbuatan atas alasan agama yang menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan, atau perasaan permusuhan, benci membenci yang boleh memudaratkan keharmonian atau perpaduan.

Seksyen 506 pula adalah mengenai seksaan bagi kesalahan menakutkan secara jenayah.

Kegiatan bahaya

Musa berkata pada 13 April lalu, beliau dikunjungi oleh Persatuan Pemimpin Agama Hindu Malaysia, yang menjelaskan mengenai kegiatan bahaya kumpulan tertentu yang kononnya menjalankan kegiatan motivasi untuk mendapatkan pengikut atau penyertaan awam.

"Saya memandang serius perbuatan kumpulan ini yang mana, ianya boleh menggugat perpaduan kaum dan agama di negara ini. Pihak polis tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas kepada mereka yang memperalatkan agama untuk mencapai objektif.

"Saya berharap orang ramai tidak akan mengambil tindakan sendiri di luar batasan undang-undang negara," katanya.

Musa juga berkata siasatan polis akan diedarkan ke pejabat Peguam Negara untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Presiden Malaysia Hindu Sangam Datuk A. Vaithilingam memberitahu Bernama, kumpulan itu yang beroperasi di Kota Damansara dekat sini bergiat aktif di sekitar Lembah Klang dengan mengadakan ceramah-ceramah kerohanian untuk mempengaruhi pengikut.

Katanya beliau kesal kerana kandungan ceramah tersebut yang menghina ajaran agama Hindu.