Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pertimbang semula batal pelepasan cukai untuk pencarum SSPN - Syed Saddiq

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muda-Muar) mendesak kerajaan mempertimbangkan semula keputusan membatalkan pelepasan cukai individu hingga RM8,000 untuk pencarum Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN).

Kecewa dengan keputusan kerajaan itu, presiden Muda itu berkata tindakan tersebut seolah-olah merampas peluang keluarga golongan pertengahan untuk melabur kepada anak-anak mereka bagi melanjutkan pelajaran di peringkat pengajian tinggi.

“Ini bukan perkara kecil kerana implikasi kewangan kepada kewangan semua keluarga kelas pertengahan adalah begitu besar.

"RM8,000 setahun bukan jumlah yang kecil. Kita lihat keluarga kelas pertengahan ini ingin melaburkan wang mereka untuk tujuan tabung pendidikan anak-anak mereka tetapi jika tidak ada lagi pengecualian cukai insentif untuk mereka untuk memulakan (simpanan) tabung ini akan menurun,” katanya ketika sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Semalam, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Mohd Nizom Sairi mengesahkan perkara itu.

Katanya, ia selaras dengan keputusan kerajaan untuk tidak meneruskan insentif pelepasan cukai tersebut atas faktor tertentu.

Mengulas lanjut, Syed Saddiq berkata isu tersebut dekat di hatinya memandangkan pusat khidmat parlimennya pernah mengadakan kerjasama dengan pihak SSPN untuk membuka akaun skim berkenaan bagi pelajar dari keluarga kurang berkemampuan di Muar

Katanya, inisiatif tersebut bermula seawal pelajar tersebut berumur tujuh tahun, sebagai usaha membasmi kemiskinan dan keciciran pelajaran.

“Sebanyak RM322,000 telah diperuntukkan untuk 400 orang pelajar.

“Ibu bapa mereka pada awalnya tidak tahu menahu pun kewujudan SSPN ini dan selepas kita buka akaun dengan RM500, mereka setiap bulan masukkan RM100 ke dalam akaun tu sendiri,” katanya.

Lihat Komen
ADS